Written by 5:08 pm Berita, Semasa

Isu Akaun Palsu Libatkan Agong: MCMC Keluarkan Tuntutan Statutori Terhadap TikTok

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalan platform itu bertindak pantas menyekat kandungan berunsur fitnah, ancaman dan penghinaan yang dikaitkan dengan Institusi Diraja Malaysia.

Tindakan tersebut dibuat selepas tular beberapa kandungan melibatkan akaun palsu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Kandungan berkenaan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan imej dimanipulasi bagi menghasilkan maklumat palsu serta mengelirukan.

MCMC memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok bagi menuntut platform itu memperkukuhkan pemantauan kandungan serta mengambil tindakan lebih berkesan terhadap bahan yang melanggar undang-undang negara.

Menurut suruhanjaya itu, isu melibatkan Institusi Diraja berada dalam kategori sensitif 3R iaitu kaum, agama dan raja, yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam sekiranya tidak dikawal dengan baik.

MCMC turut menegaskan semua penyedia platform media sosial perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan mereka tidak disalah guna untuk penyebaran kandungan berbahaya atau menyalahi undang-undang.

Close