Written by 12:11 pm Berita, Semasa • One Comment

Malaysia Telah Dijamin Laluan Selamat Untuk Sebuah Kapal Di Selat Hormuz

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan salah satu daripada tujuh kapal komersial miliknya yang terkandas di Selat Hormuz kini telah diberikan laluan selamat dan sedang menuju ke destinasi ditetapkan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini berkata, perkembangan positif itu dicapai hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Malaysia dan Iran.

Menurutnya, ia termasuk perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu, serta komunikasi antara Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi pada 24 Mac.

“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi dan keselamatan laluan maritim selaras dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan kepentingan dialog berterusan dan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran serantau bagi memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.

Close