KUALA LUMPUR, 9 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memastikan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan dengan mematuhi prinsip yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata walaupun beliau menyokong cadangan pertambahan kerusi di Sarawak, proses tersebut perlu dilakukan secara telus dan memberi masa mencukupi kepada orang ramai untuk meneliti cadangan yang dikemukakan.
Menurutnya, Perenggan 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bilangan pengundi di setiap kawasan pilihan raya sepatutnya hampir sama, kecuali bagi kawasan luar bandar yang mengambil kira faktor keluasan dan kesukaran akses.
Beliau berkata prinsip pemberat kawasan luar bandar itu secara tradisinya diterjemahkan kepada nisbah sekitar dua kepada satu antara kawasan bandar dan luar bandar.
Namun, beliau mendakwa terdapat perbezaan yang jauh lebih besar dalam beberapa kawasan di Sarawak. Sebagai contoh, kerusi Parlimen Miri mempunyai 149,441 pengundi manakala Igan hanya mempunyai 29,132 pengundi, iaitu kira-kira nisbah lima kepada satu.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula, Senadin mempunyai 73,430 pengundi berbanding Gedong dengan hanya 10,380 pengundi, bersamaan nisbah kira-kira tujuh kepada satu.
Yii turut mempersoalkan mengapa Bandar Kuching yang mempunyai jumlah pengundi hampir sama dengan Petrajaya tidak dijangka menerima kerusi tambahan, sedangkan Petrajaya dilaporkan mungkin memperoleh dua kerusi baharu.
Beliau menegaskan bahawa prinsip pemberat kawasan luar bandar hanya wajar digunakan bagi kawasan yang benar-benar luas dan sukar diakses seperti Hulu Rajang dan Baram.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat turut mencadangkan agar SPR menetapkan prinsip jelas bahawa kawasan Parlimen terbesar tidak boleh mempunyai jumlah pengundi melebihi dua kali ganda kawasan terkecil.
Beliau berkata ketidakseimbangan pengundi ketika ini sangat ketara, dengan kerusi Parlimen Bangi mempunyai 246,795 pengundi pada Pilihan Raya Umum 2022, berbanding beberapa kawasan lain yang mempunyai kurang daripada 50,000 pengundi.
Menurutnya, proses persempadanan semula yang sedang dijalankan perlu digunakan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ini sebelum pilihan raya umum akan datang.
Of course. Well said Kelvin and Suhaizan.
sistem terkini tak adil. Isu ini kena dikawal.
Negara dua darjat bang