KUALA LUMPUR – Seramai 15 kakitangan Petra News Sdn Bhd, penerbit The Malaysian Insight, The Vibes, dan Getaran, menuntut pembayaran segera gaji tertunggak serta caruman KWSP, PCB, dan PERKESO bagi tahun 2024.
Semakan dengan pihak berkuasa mendapati pemotongan telah dibuat dalam slip gaji pekerja, tetapi syarikat gagal menyerahkan bayaran tersebut. Akibatnya, pekerja terjejas mengalami kesukaran kewangan, termasuk permohonan pinjaman ditolak dan risiko penalti cukai.
Susulan itu, pekerja terkesan telah membuat laporan polis serta mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Namun, Petra News Sdn Bhd didakwa gagal menghadiri beberapa sesi pendengaran dan melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.
Pada masa yang sama, kakitangan berterima kasih kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, atas kesediaannya membantu sejak isu ini mula didedahkan.
Setakat ini, tiada tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap syarikat atau pemiliknya. Kakitangan terlibat menggesa kerajaan bertindak segera bagi memastikan hak mereka dipulihkan.