Rafizi Ramli tiba-tiba mahu kita percaya bahawa beliau tidak pernah terfikir menjadi Perdana Menteri. Kononnya beliau tidak seperti Anwar Ibrahim yang “hidup untuk jawatan itu”. Kononnya beliau cukup bahagia jika dapat bersara senyap-senyap seperti orang biasa.
Masalahnya, orang yang benar-benar tidak mahu sesuatu, jarang sekali perlu menjelaskannya berkali-kali.
Sejarah tidak lupa. Pada 2018, Rafizi sendiri berkata matlamatnya ialah menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri. Hari ini, nada beliau berubah. Seolah-olah jawatan itu satu beban yang hina. Politik memang cepat melupakan kata-kata lama, tetapi internet tidak.
Lebih menarik ialah reaksi beliau selepas tewas dalam pemilihan parti tahun lalu. Jika benar beliau tidak terikat dengan kuasa, mengapa kekalahan itu diikuti dengan langkah-langkah yang menggoncang kestabilan parti? Mengapa perlu membawa sekumpulan Ahli Parlimen bersama, seolah-olah membuktikan bahawa kekalahan peribadi adalah tragedi nasional?
Reformasi ekonomi yang selalu dilaungkan tiba-tiba tenggelam dalam drama dalaman. Yang tinggal hanyalah nada sinis dan sindiran terbuka terhadap kepimpinan sendiri.
Dalam satu hantaran di X hujung minggu lalu, Rafizi menulis bahawa beliau tidak mempunyai “beban” seperti Anwar dan ahli politik lain yang terlalu memikirkan jawatan. Kenyataan seperti itu bukan kedengaran tenang. Ia kedengaran defensif. Seperti seseorang yang cuba meyakinkan orang lain tentang sesuatu yang sebenarnya masih menghantui dirinya.
Profesor Tajuddin Rasdi menyifatkannya sebagai “lelaki pahit berhati kecil”, malah mengumpamakannya seperti Grinch. Analogi itu mungkin kasar, tetapi ada kebenaran dalam politik: cara seseorang menghadapi kekalahan menentukan bagaimana sejarah akan mengingatnya.
Pakatan Harapan bukan parti untuk eksperimen ego. Reformasi bukan medan untuk membuktikan siapa lebih pintar atau lebih awal bercakap tentang sesuatu. Ia tentang konsistensi dan disiplin.
Kita sudah melihat episod Sheraton. Kita sudah melihat ahli politik yang memilih jalan protes dan akhirnya hilang dari radar. Mereka yang menari mengikut rentak Azmin Ali dulu, hari ini di mana?
Politik tidak kejam. Politik hanya jujur tentang akibat.
Jika Rafizi benar-benar tidak terikat dengan jawatan, maka mungkin sudah tiba masanya beliau membuktikannya dengan tindakan, bukan sindiran. Kerana dalam politik, anggur yang kelihatan masam selalunya hanya masam kepada mereka yang gagal mencapainya.
Oleh: Jeffri Saling
Pizi oooo Pizi
Kau ni mmg Out of Formula dahhhh