KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian Baucar Buku Madani bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) disambut baik oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang menyifatkan langkah itu sebagai usaha penting memperkukuh budaya membaca serta akses kepada bahan ilmiah.
Inisiatif yang diumumkan ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu akan memanfaatkan murid sekolah menengah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pelajar IPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun kerajaan berdepan tekanan kewangan dan cabaran ekonomi global, pendidikan tidak boleh dikorbankan.
“Program Baucar Buku Madani ini, saya tak ada pilihan. Saya beritahu Kementerian Kewangan, memang sukar dan perit, tetapi soal buku dan pendidikan harus tetap diberi keutamaan,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
KPM dalam reaksinya menyambut baik pengumuman itu dan melihatnya sebagai kesinambungan komitmen kerajaan memperkasakan pendidikan berkualiti serta membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda.
Menurut kementerian itu, bantuan berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar dan keluarga, malah membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti dalam pelbagai bidang.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan semua kementerian supaya lebih berhemah dalam pengurusan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan krisis tenaga global.
Beliau menegaskan usaha penjimatan perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan sektor pendidikan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Mustahil RM20 bilion tak boleh dijimatkan. Kita minta menteri, timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian faham isu ini,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa walaupun negara sedang bergerak ke arah pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi moden, elemen budaya, sastera serta pembinaan nilai masyarakat tidak boleh diketepikan.
Tahun lalu, kerajaan turut memperkenalkan baucar buku kepada kira-kira 400,000 guru sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan penerbitan negara.
Sebelum ini pada 2024, bantuan RM100 turut diberikan kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menengah dan pelajar IPT di seluruh negara.
mantap pmx