Written by 5:29 pm Berita • 2 Comments

“Media Dibayar Hentam Orang?” – Wartawan Mula Naik Angin Dengan Ahli Politik Yang Kuat Main Tuduh

KUALA LUMPUR — Tindakan Rafizi Ramli yang didakwa menuduh media dibayar oleh Fahmi Fadzil untuk menyerang beliau akhirnya memakan diri apabila seorang pengamal media tampil membidas kenyataan tersebut secara terbuka.

Menerusi satu hantaran pedas di platform X, pengamal media berkenaan menyifatkan tuduhan rambang terhadap media sebagai tidak bertanggungjawab, malah menghina profesion kewartawanan secara keseluruhan.

“Sebagai pengamal media, saya berharap Majlis Media Malaysia dapat mengambil pendirian yang jelas dan tegas terhadap mana-mana ahli politik atau individu yang sewenang-wenangnya menuduh serta memfitnah media kononnya dibayar oleh pihak tertentu untuk menyerang individu lain,” tulisnya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk secara langsung kepada dakwaan Rafizi yang sebelum ini memberi bayangan kononnya terdapat media tertentu digerakkan dan dibayar oleh Fahmi Fadzil untuk menyerang beliau demi kepentingan politik dalaman.

Namun bagi ramai pengamal media, naratif seperti itu bukan benda baru, malah dianggap sebagai skrip klasik ahli politik yang gagal menerima hakikat bahawa media tidak lagi mahu menjadi mesin propaganda peribadi mereka.

“Tuduhan seperti ini mencemarkan reputasi media, dan merendahkan profesionalisme para wartawan yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” tambah hantaran tersebut lagi.

Lebih pedas, pengamal media itu turut mengingatkan bahawa media mempunyai kebebasan editorial sendiri dan tidak memerlukan bayaran untuk mengkritik mana-mana tokoh politik.

“Media ada kebebasan editorial dan pertimbangan sendiri. Kalau nak boikot, kita boikot. Tak perlu nak dibayar hentam orang.”

Sindiran paling tajam bagaimanapun muncul pada bahagian akhir hantaran tersebut apabila beliau membayangkan bahawa individu yang paling gemar menuduh media dibayar, sebenarnya mungkin lebih memahami budaya sedemikian.

“Tapi kan… selalunya mereka yang gemar lempar tuduhan ni lah yang sebenarnya berbuat demikian.”

Kenyataan itu pantas menjadi perhatian ramai, dengan rata-rata netizen menyifatkan tindakan Rafizi menyerang media sebagai tanda beliau semakin sukar menerima kritikan terbuka terhadap dirinya.

Malah ada yang berpendapat, Rafizi kelihatan hanya selesa dengan media yang memuji beliau, tetapi mula melabel media sebagai alat pihak tertentu apabila laporan tidak lagi memihak kepadanya.

Pemerhati politik turut melihat perkembangan ini sebagai simptom budaya politik lama apabila ahli politik terlalu ingin mengawal naratif media sehingga setiap kritikan dianggap konspirasi terancang.

Hakikatnya, media bukan jabatan publisiti mana-mana menteri.

Bukan semua wartawan wajib memuja.

Bukan semua editor wajib melindungi imej politik seseorang.

Dan bukan semua berita negatif boleh disapu bawah karpet dengan label media dibayar.

Dalam dunia politik matang, kritikan media dijawab dengan fakta. Bukan dengan tuduhan paranoid terhadap wartawan dan organisasi media.

Close