PETALING JAYA – Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat sebagai langkah besar dalam mempercepat transformasi sistem kesihatan negara ke arah era digital sepenuhnya.
Menerusi pelaksanaan Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (FHCI), Malaysia kini berada di landasan untuk muncul antara negara terawal di dunia yang memiliki sistem penjagaan kesihatan awam primer digital bersepadu sepenuhnya menjelang tahun 2027 — jauh lebih awal daripada sasaran asal pada 2045.
Langkah agresif itu bukan sekadar melibatkan naik taraf teknologi, tetapi turut memberi impak terus kepada rakyat melalui akses rawatan lebih cepat, pengurusan data pesakit yang lebih cekap serta pengurangan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan.
MCMC memaklumkan, pelaksanaan FHCI turut memanfaatkan pembangunan infrastruktur digital negara menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), sekali gus membolehkan capaian internet diperluaskan ke fasiliti kesihatan termasuk di kawasan luar bandar dan lokasi yang sebelum ini kurang mendapat liputan perkhidmatan.
Melalui penggunaan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) dan ekosistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu, petugas kesihatan kini boleh mengakses maklumat pesakit dengan lebih pantas tanpa bergantung kepada rekod manual yang sering melambatkan proses rawatan.
Pendekatan itu dijangka mempercepat proses diagnosis, mengurangkan kelewatan pentadbiran serta meningkatkan penyelarasan rawatan antara klinik dan hospital di seluruh negara.
Setakat ini, sebanyak 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan telah melaksanakan sistem digital berkenaan, manakala 468 fasiliti kesihatan primer pula sudah dilengkapi dengan sistem EMR sepenuhnya.
Pelaksanaan di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan menjadi pencapaian penting apabila kedua-dua kawasan itu kini muncul sebagai lokasi pertama di Malaysia yang mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya.
Menurut MCMC, hasil awal pelaksanaan menunjukkan keberkesanan ketara apabila 81 peratus pesakit kini menerima rawatan dalam tempoh kurang satu jam, selain sistem tersebut berjaya mengendalikan lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, peluasan capaian internet di bawah prinsip “di mana ada jalan, di situ ada internet” kini menjadi asas penting dalam membentuk sistem kesihatan moden yang lebih efisien dan berdaya tahan.
Beliau menegaskan bahawa gabungan teknologi digital dan sistem kesihatan pintar bukan sahaja meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, malah membantu kerajaan memenuhi keperluan komuniti secara lebih menyeluruh di seluruh negara.
Kerjasama MCMC dan KKM itu turut dilihat sebagai petanda bahawa Malaysia semakin serius memanfaatkan teknologi digital untuk memperkukuh sektor awam, khususnya dalam aspek kesihatan rakyat yang menjadi antara keutamaan utama negara.