Written by 5:01 pm Semasa • 2 Comments

Parti Baru Rafizi: Politik Ego atau Gerakan Serius?

Pengumuman platform baharu oleh Rafizi Ramli dan kumpulannya akhirnya tiba.

Dan terus terang cakap, ia terasa jauh lebih kecil daripada hype yang dibina selama berbulan-bulan.

Selepas hampir setahun memberi bayangan tentang “arah politik baharu”, apa yang diumumkan akhirnya hanyalah sebuah gerakan yang mahu bergerak secara bebas tanpa menyertai mana-mana gabungan politik besar.

Persoalannya mudah.

Dalam sistem politik Malaysia yang sangat bergantung kepada coalition politics, sejauh mana model seperti ini boleh pergi?

Malaysia bukan negara dengan sistem dua parti yang stabil. Politik kita bergerak atas realiti jentera, gabungan, kompromi dan angka kerusi Parlimen. Sebab itu kebanyakan gerakan politik kecil yang cuba bergerak secara solo akhirnya berdepan masalah yang sama:
momentum awal tidak semestinya boleh diterjemahkan menjadi kuasa politik sebenar.

Malah kenyataan bahawa parti ini mahu mengetengahkan lebih ramai calon muda juga terasa seperti mengulangi formula yang sudah pernah dicuba sebelum ini.

Kita sudah melihat bagaimana MUDA cuba membina politik berasaskan naratif generasi baharu dan anti-establishment. Momentum media memang wujud pada awalnya.

Tetapi pilihan raya akhirnya tetap bergantung kepada:

  • akar umbi
  • jentera
  • organisasi
  • struktur parti

Politik Twitter dan politik pilihan raya bukan benda yang sama.

Apa yang lebih menarik sebenarnya ialah timing gerakan ini.

Malaysia sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global, tekanan fiskal dan pelbagai cabaran kos sara hidup. Dalam keadaan seperti itu, rakyat biasanya mencari kestabilan politik, bukannya satu lagi eksperimen politik baharu yang belum jelas hala tujunya.

Dan di sinilah persoalan terhadap Rafizi mula muncul semula.

Ketika berada di luar kerajaan, beliau membina reputasi sebagai pengkritik yang agresif dan reformis yang kononnya membawa idea besar untuk negara.

Tetapi apabila berada dalam kerajaan sebagai Menteri Ekonomi, ramai penyokong sendiri tertanya-tanya:
di mana reform besar yang dijanjikan itu?

Kini selepas keluar daripada kerajaan dan kalah dalam pemilihan parti, Rafizi sekali lagi kembali kepada posisi yang paling selesa buat dirinya:
politik komentar dan gerakan luar sistem.

Itu sebab ramai melihat projek baharu ini lebih sebagai manifestasi kekecewaan politik daripada satu gerakan nasional yang benar-benar matang.

Mungkin Rafizi percaya rakyat mahukan satu lagi “third force”.

Tetapi sejarah politik Malaysia menunjukkan satu perkara yang agak konsisten.

Membina momentum media jauh lebih mudah daripada membina kekuatan politik yang mampu bertahan selepas hari pengundian.

Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.

Close