KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak pernah mengarahkan supaya laporan berkaitan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Sumber berkata, Anwar sebaliknya menggesa penubuhan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan berkenaan.
Menurut sumber itu, sebarang penangguhan dalam pendedahan laporan adalah berasaskan pertimbangan munasabah, termasuk keperluan melengkapkan siasatan sebelum maklumat didedahkan kepada umum.
“Perdana Menteri mahu siasatan komprehensif terhadap isu ini dan perkara berkaitan SPRM diselesaikan terlebih dahulu.
“Pendedahan maklumat secara berperingkat berisiko menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan terhadap pasaran kewangan negara,” katanya.
Sumber itu turut menjelaskan bahawa kerajaan kini berdepan cabaran luaran, termasuk konflik berterusan di Asia Barat, dan memberi keutamaan kepada kestabilan ekonomi serta perlindungan kepentingan negara.
Perkembangan itu susulan laporan oleh Bloomberg yang mendakwa Anwar bimbang pendedahan berkenaan boleh menjejaskan persepsi terhadap kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, sumber itu menegaskan dakwaan tersebut tidak tepat.
“Ini bukan soal pilihan raya, tetapi melibatkan persepsi negara. Perdana Menteri tidak mahu laporan yang belum lengkap didedahkan pada waktu kritikal,” katanya.
Jawatankuasa Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi meneliti isu berkenaan, dipengerusikan oleh Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar.
Ia turut dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Sumber itu menegaskan tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan maklumat dan laporan penuh akan didedahkan selepas semua aspek siasatan dimuktamadkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam dilaporkan berdepan tekanan berhubung dakwaan pegangan saham yang didakwa melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.
Terdapat juga spekulasi mengenai kemungkinan pelantikannya sebagai senator, yang memerlukan perakuan Perdana Menteri sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.