Dalam Dialog Negara Khas, PMX berkongsi bagaimana Malaysia masih mampu mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter ketika dunia berdepan krisis geopolitik. Usaha mengekang ketirisan subsidi turut menjadi antara perkara penting bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat.
Dalam program Dialog Negara Khas bertemakan “Di Sebalik Keputusan” yang disiarkan malam semalam, Perdana Menteri (PMX) berkongsi pengalaman beliau ketika bertemu dengan barisan pemimpin negara-negara ASEAN dan APEC.
Berdasarkan perkongsian tersebut, antara perkara yang paling menarik perhatian pemimpin negara lain ialah kemampuan Malaysia mempertahankan harga bahan api pada kadar yang rendah, meskipun pasaran tenaga global sedang bergolak hebat.
Ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan akibat konflik di Iran, perang di Ukraine serta pelbagai krisis geopolitik lain yang menekan harga minyak mentah antarabangsa, Malaysia masih kekal mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada paras RM1.99 seliter.
Beban Subsidi Hampir RM40 Bilion
Menurut PMX dalam sesi dialog tersebut, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM40 bilion khusus untuk menampung subsidi bahan api negara. Bagi memberi gambaran yang lebih jelas, harga sebenar petrol RON95 tanpa subsidi mulai hari ini adalah pada kadar RM3.47 seliter.
Ini bermakna, setiap kali rakyat mengisi minyak, sedar atau tidak, kerajaan sebenarnya sedang menanggung subsidi sebanyak RM1.48 bagi setiap liter petrol RON95 bersubsidi yang dibeli.
Menutup Ruang Ketirisan
Sebelum ini, PMX turut berulang kali menekankan bahawa langkah penyasaran subsidi dan operasi membanteras penyeludupan adalah amat kritikal bagi mengelakkan dana negara daripada terus mengalami ketirisan mencecah berbilion ringgit.
Di sinilah letaknya kepentingan kecekapan dalam mentadbir negara. Apabila ruang ketirisan akibat rasuah, penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan subsidi berjaya dikekang, lebih banyak wang negara dapat diselamatkan dan disalurkan semula untuk memberikan manfaat terus kepada rakyat.
Realiti Serantau
Untuk memahami nilai sebenar subsidi yang sedang dinikmati hari ini, kita tidak perlu membuat perbandingan dengan negara-negara jauh. Cukup sekadar melihat harga petrol di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, dengan mengambil kira perbezaan jenis bahan api serta dasar subsidi masing-masing.
Hakikatnya, ada kalanya kita terlalu terbiasa menikmati sesuatu kemudahan sehingga kita terlupa betapa besarnya nilai nikmat tersebut dalam meringankan kos sara hidup harian.
Bersyukur tidak bermakna rakyat tidak boleh bersuara atau mengkritik kerajaan. Ruang semak dan imbang tetap perlu ada. Namun, dalam kesibukan kita mencari ruang penambahbaikan dan kekurangan, janganlah sampai kita terlepas pandang manfaat besar yang sedang kita nikmati hari ini.