Written by • 9:20 pm• Semasa •

Zahid Umum, Turkiye Nafi. Di Mana Mohamad Hasan?

Isu pengumuman penempatan 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia ke Turkiye yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, merupakan satu perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Pengumuman bahawa kerajaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya, sebelum dinafikan secara terbuka oleh pihak berkuasa Turkiye, telah menimbulkan persoalan besar terhadap ketelitian, penyelarasan dan kredibiliti komunikasi kepimpinan kerajaan Malaysia.

Persoalannya, atas kapasiti apakah pengumuman sebesar ini dibuat? Adakah persetujuan rasmi kerajaan Turkiye benar-benar telah diperoleh? Adakah Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra terlibat dalam proses rundingan serta pengesahan sebelum perkara ini diumumkan kepada umum?

Lebih membimbangkan apabila timbul pula persoalan mengenai status perbincangan perkara tersebut di peringkat Jemaah Menteri. Percanggahan maklumat seperti ini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap proses pentadbiran dan penyelarasan dasar kerajaan.

Zahid Hamidi perlu memahami bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan pentas untuk membuat pengumuman tanpa kepastian. Setiap kenyataan yang dibuat membawa implikasi terhadap imej kerajaan dan maruah negara.

Satu lagi persoalan yang tidak kurang penting ialah kedudukan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO.

Dalam isu yang secara langsung melibatkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Turkiye, suara Menteri Luar Negeri amat diperlukan.

Beliau sepatutnya tampil menjelaskan kedudukan sebenar hubungan diplomatik kedua-dua negara, status komunikasi antara Wisma Putra dengan kerajaan Turkiye serta sama ada pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri telah melalui penyelarasan kementeriannya.

Apabila seorang Timbalan Perdana Menteri membuat pengumuman besar dan negara yang disebut kemudiannya mengeluarkan penafian, rakyat sewajarnya mengharapkan Menteri Luar Negeri tampil memberikan penjelasan yang tuntas.

Persoalannya, mengapa masih belum ada penjelasan terbuka yang menyeluruh daripada pihak yang paling bertanggungjawab menguruskan hubungan luar negara?

Lebih penting, kedua-dua tokoh ini merupakan pemimpin tertinggi UMNO yang memegang jawatan penting dalam kerajaan. Keadaan ini mengundang persoalan tentang tanggungjawab, akauntabiliti dan kewibawaan kepimpinan UMNO dalam pentadbiran negara.

Kredibiliti kepimpinan tidak diukur melalui jawatan yang disandang, tetapi melalui keupayaan memikul tanggungjawab, memberikan penjelasan dan menyelesaikan persoalan yang melibatkan kepentingan negara.

Lebih membimbangkan, insiden ini berpotensi menjejaskan usaha diplomatik yang telah sekian lama dibina oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan Turkiye.

Hubungan baik antara Malaysia dan Turkiye bukan sesuatu yang terbina dalam sehari. Ia dibangunkan melalui kepercayaan, persefahaman, kerjasama strategik dan hubungan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara.

Justeru, sebarang kenyataan yang tidak diselaraskan dengan baik berpotensi menimbulkan salah faham diplomatik serta mengganggu momentum hubungan dua hala yang sedang diperkukuh.

Adakah Zahid Hamidi menyedari bahawa kenyataan yang dibuat atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan hanya melibatkan dirinya atau UMNO, tetapi turut membawa nama Malaysia di mata dunia?

Sebagai Presiden UMNO yang berada dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan, beliau mempunyai tanggungjawab politik untuk memastikan tindakan dan kenyataannya tidak menjadi beban kepada keseluruhan pentadbiran kerajaan.

Kita tidak mempertikaikan usaha menyelesaikan isu etnik Rohingya sedang giat ditangani oleh pasukan kerajaan Madani ketika ini bagi memastikan ketenteraman rakyat Malaysia.

Namun, isu kemanusiaan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prosedur diplomatik, ketepatan fakta dan tanggungjawab institusi.

Sehubungan itu, Zahid Hamidi perlu tampil memberikan penjelasan terbuka mengenai asas pengumuman tersebut, status sebenar persetujuan kerajaan Turkiye serta peranan Kementerian Luar Negeri dalam perkara ini.

Mohamad Hasan juga perlu menjelaskan kedudukan Wisma Putra dan tindakan diplomatik yang telah atau sedang diambil bagi memastikan perkara ini tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan Turkiye.

Memadam hantaran media sosial tidak memadai untuk menjawab persoalan yang telah timbul. Rakyat berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Apa yang berlaku ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa jawatan tinggi dalam kerajaan bukan sekadar simbol kuasa dan kedudukan politik. Ia datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar.

Apabila dua pemimpin tertinggi sebuah parti politik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, rakyat berhak mengharapkan tahap kepimpinan, penyelarasan dan akauntabiliti yang tinggi.

Kegagalan memberikan penjelasan yang meyakinkan terhadap persoalan sebesar ini hanya akan mengundang lebih banyak keraguan terhadap kewibawaan kepimpinan yang sedang mentadbir negara.

Kepentingan negara tidak boleh dikompromikan demi keterujaan membuat pengumuman politik. Maruah Malaysia bukan milik mana-mana individu atau parti politik untuk dipertaruhkan.

Kita boleh berbeza pandangan dalam politik, tetapi dalam soal kredibiliti dan hubungan antarabangsa, setiap pemimpin wajib meletakkan kepentingan Malaysia mengatasi kepentingan politik masing-masing.

Malaysia perlu dihormati kerana kewibawaan kepimpinannya, ketegasan pendiriannya dan ketelitian setiap tindakan diplomatiknya.

Jangan kerana kegagalan menyelaraskan satu pengumuman, segala usaha membina kepercayaan dan hubungan baik antara dua negara menjadi taruhan.

MARUAH NEGARA ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

MOHAMAD FATHI ZIKRI MOHD ZAIN
Naib Ketua AMK Hulu Langat

https://www.facebook.com/share/1CYARfCi5p/?mibextid=wwXIfr

↑
Close