Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan tegaskan tindakan cuba jatuhkan kerajaan hari ini adalah haram dan menyerupai golongan khawarij.
Usaha mana-mana pihak untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang memerintah secara adil adalah diharamkan di sisi agama, tegas Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki.
Beliau yang juga merupakan Tokoh Turath Islam berkata, tindakan pihak tertentu yang tidak henti-henti berusaha menjatuhkan kepimpinan yang sedang mentadbir di peringkat negeri dan negara amat membimbangkan. Menurut beliau, pemikiran dan gerakan sedemikian mengingatkan kembali kepada kemunculan golongan khawarij dalam lipatan sejarah Islam.
Menjelaskan lebih lanjut, Syeikh Wazir memetik sejarah hitam apabila ideologi golongan khawarij inilah yang telah menyebabkan kejatuhan pemerintahan Khalifah Saidina Uthman RA. Malah, golongan ekstrem ini turut terlibat dalam siri peperangan menentang pemerintahan Saidina Ali RA selama bertahun-tahun, yang akhirnya memecahbelahkan kesatuan umat Islam pada ketika itu.
“Membangun negeri, membangun negara, tapi ada usaha untuk menjatuhkan mereka. Na’uzubillah, haram,” tegas beliau.
Peringatan tegas dan teguran tersebut dilontarkan ketika beliau menyampaikan ucapan sempena Majlis Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat yang berlangsung dengan kehadiran ribuan umat Islam di Dataran Muhammadi, pada hari Sabtu lalu.
Majlis yang penuh keberkatan itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bukan sahaja menyempurnakan perasmian majlis, malah meluangkan masa untuk berselawat bersama-sama para ulama dan rakyat yang hadir.