Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membawa khabar penting buat landskap politik Malaysia. Selepas lebih lapan sesi rundingan bersama pihak kerajaan sejak tahun 2023, perjanjian Confidence and Supply Agreement (CSA) demi reformasi dan kestabilan negara akhirnya rasmi ditandatangani.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Syed Saddiq mendedahkan tiga komitmen penting yang dipersetujui dalam perjanjian bersejarah tersebut:
Bebaskan Pelantikan Pendakwa Raya daripada Kuasa PM
Langkah ini bertujuan memastikan tiada lagi kes rasuah digugurkan semata-mata untuk melindungi kawan, atau institusi kerajaan digunakan untuk mengenakan lawan politik. Undang-undang mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa mengira kawan atau lawan. Syed Saddiq yang turut terlibat dalam Jawatankuasa Khas bagi merundingkan reformasi ini selama setengah tahun menyatakan sokongan penuh beliau apabila pindaan ini dibawa ke Parlimen kelak demi masa depan Malaysia.
Hadkan Tempoh PM Kepada 2 Penggal
Tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dipersetujui untuk dihadkan kepada dua penggal sahaja. Syarat dan had ini mesti terpakai kepada sesiapa sahaja yang memegang jawatan PM, tidak kira daripada parti mana sekalipun.
Peruntukan yang Adil Bagi Kawasan Parlimen Pembangkang
Perjanjian ini memastikan kawasan yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang tidak lagi dipinggirkan. Rakyat berhak menerima bantuan tanpa mengira warna politik yang mereka pilih pada pilihan raya.
Bagi warga Muar, kesepakatan ini bermakna peruntukan kebajikan yang sudah lama ditunggu akan dapat disalurkan semula. Malah, Syed Saddiq turut meminta agar peruntukan yang adil ini dijadikan satu undang-undang yang mengikat. Tujuannya adalah supaya mana-mana kerajaan yang memerintah selepas ini wajib mematuhinya tanpa wujud unsur diskriminasi.
Menyentuh soal pengurusan peruntukan untuk Parlimen Muar, beliau mengekalkan prinsip kebiasaannya: “100% transparency. 100% accountability”.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan pimpinan kerajaan termasuk YAB PM Anwar Ibrahim, YAB TPM II Fadillah Yusof, YBM Azalina Othman Said, dan Tengku Zafrul kerana sudi bekerjasama menjayakan usaha ini.
“Berbeza parti, tetap boleh bekerjasama. Yang penting, rakyat dapat manfaat dan negara diutamakan,” tegasnya, membuktikan bahawa kematangan berpolitik mampu membuahkan hasil yang positif untuk negara.