Nasib Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dalam persada politik tanah air kini dilihat semakin suram, ibarat peribahasa Melayu, ‘melukut di tepi gantang’. Perkara ini terbukti apabila melihat kepada pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2026.
Bayangkan, ketika PRN Melaka pada tahun 2021, MCA diberikan kepercayaan untuk bertanding di tujuh buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, senario menjelang PRN 2026 menyaksikan kejatuhan mendadak apabila parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dilaporkan hanya diberikan dua kerusi sahaja untuk ditandingi.
Dua kerusi tersebut adalah DUN Machap Jaya dan DUN Kelebang, yang mana merupakan satu-satunya dua kerusi yang berjaya dimenangi oleh MCA pada PRN 2021 yang lalu. Keputusan sekadar “mempertahankan apa yang ada” ini mencetuskan pelbagai tanda tanya mengenai kedudukan sebenar MCA di mata rakan sekutunya.
Perkembangan ini memberi isyarat jelas bahawa UMNO, yang selama ini memegang peranan sebagai ‘abang besar’ di dalam BN, seakan-akan sudah hilang keyakinan terhadap kemampuan MCA untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Realiti politik semasa memaksa UMNO untuk menilai semula strategi kelangsungan mereka, dan tampaknya MCA tidak lagi dilihat sebagai aset yang bernilai tinggi.
Sebaliknya, UMNO kini dilihat lebih cenderung mengambil pendekatan yang berbeza. Terdapat naratif yang kuat menyatakan bahawa UMNO lebih suka mengintai peluang bersama PAS, menggunakan dan memainkan sentimen kaum serta agama sebagai senjata ampuh untuk memancing undi majoriti Melayu. Dalam percaturan baharu ini, suara dan peranan MCA secara automatik menjadi semakin terpinggir.
Apa yang lebih memalukan dan memberikan tamparan hebat kepada maruah MCA adalah kedudukan pesaing mereka. Terdapat kemungkinan besar bahawa GERAKAN, yang merupakan parti sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN), akan bertanding lebih banyak kerusi di Melaka berbanding MCA.
Jika GERAKAN yang sebelum ini sering disindir oleh pemimpin UMNO dan MCA sendiri mampu diberikan peranan yang lebih besar oleh sekutu mereka, apakah nilai sebenar MCA di dalam BN hari ini?
Ternyata, MCA kini perlu bermuhasabah dan mencari formula baharu jika tidak mahu terus relevan hanya pada nama, sebelum terus pupus dari diari politik Malaysia.
Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.