Berita mengenai pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semestinya disambut dengan sorakan gembira di kem UMNO. Melihat seteru politik yang selama ini lantang melaungkan retorik kini tersungkur, ia ibarat satu kemenangan moral buat parti keramat Melayu itu. Namun begitu, dalam keghairahan meraikan kejatuhan lawan, pucuk pimpinan dan akar umbi UMNO tidak seharusnya sekadar ‘menang sorak’. Di sebalik episod keruntuhan PN, tersembunyi satu iktibar dan amaran besar untuk UMNO supaya lebih berhati-hati melangkah ke hadapan.
Umum mengetahui, resipi utama di sebalik porak-perandanya kem PN ketika ini berpunca daripada satu entiti sahaja: PAS. Parti lebai itu telah sekali lagi menunjukkan belang sebenar dengan mengkhianati sekutu utamanya, BERSATU, serta parti-parti komponen lain di dalam gabungan tersebut seperti GERAKAN dan MIPP. Tikaman dari belakang ini menjadi punca keretakan teruk yang akhirnya membawa kepada jalan buntu sehingga pendaftaran gabungan itu dibatalkan.
Bagi mereka yang mengikuti rapat sejarah politik tanah air, pengkhianatan ini bukanlah satu episod yang mengejutkan. Ini bukanlah kali pertama PAS bertindak menekan butang ‘khianat’ terhadap rakan senafas sendiri. Toleh sahaja ke belakang ketika era Pakatan Rakyat (PR). Hubungan yang disangka utuh akhirnya lebur apabila PAS dengan mudahnya berpaling tadah dan meruntuhkan kerjasama yang telah dibina bertahun lamanya bersama parti-parti pembangkang yang lain.
UMNO sendiri tidak perlu melihat jauh untuk memahami resam politik PAS. Luka Muafakat Nasional (MN) pastinya masih berdarah dan berparut. Suatu ketika dahulu, Piagam Muafakat Nasional ditandatangani dengan deraian air mata penyokong kedua-dua parti atas nama penyatuan ummah. Namun, apakah kesudahannya? Sebaik sahaja BERSATU menjanjikan habuan kuasa dan kedudukan, PAS tanpa segan silu memilih untuk membelakangkan UMNO demi menubuhkan Perikatan Nasional. Penyatuan ummah yang dijaja akhirnya sekadar menjadi retorik politik murahan untuk menghalalkan tindakan mereka.
Kini, dengan terkuburnya PN, PAS dilihat mula memasang jerat baru dan kembali mencuba untuk berbaik-baik semula dengan UMNO. Bagaikan tiada apa yang berlaku, mereka perlahan-lahan menabur janji dan senyuman. Di sinilah UMNO wajar berwaspada dan membuka mata seluas-luasnya. Ramai sudah tahu sifat sebenar PAS yang hanya ‘berkawan’ di saat memerlukan dan sedia menerajang rakan sejurus mendapat peluang yang lebih menguntungkan.
Pisang tidak wajar berbuah dua kali. Kehancuran PN harus menjadi cermin paling jelas buat UMNO. Jika UMNO masih gagal membaca corak permainan PAS, mereka mungkin bakal menjadi mangsa seterusnya dalam siri pengkhianatan parti tersebut. Beringatlah sebelum terkena, kerana dalam politik PAS, kawan hari ini adalah mangsa sembelihan esok hari.