Written by • 10:01 pm• Semasa •

“PAS Jangan ‘Propa’ Nak Play Victim, Kegagalan Kamu Punca PN Dibatal” – Azmin

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara terbuka menyalahkan PAS sebagai punca utama pembatalan pendaftaran gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan tegas, beliau membidas kepimpinan PAS yang disifatkannya cuba memutar belit fakta untuk meraih simpati awam dengan berlagak seperti mangsa keadaan politik, walhal kepincangan parti itu sendiri yang memusnahkan gabungan tersebut.

Azmin menekankan bahawa hakikat yang perlu ditelan oleh PAS adalah kegagalan mereka sendiri dalam menguruskan sebuah organisasi politik secara profesional. Beliau mendakwa parti Islam itu gagal mematuhi asas prinsip demokrasi dan urus tadbir yang baik, yang menjadi prasyarat kelangsungan sesebuah gabungan.

Lebih parah, PAS dituduh mengamalkan sikap pentingkan diri dan sering mengkhianati rakan kompenen dalam perjuangan bersama, menyebabkan struktur PN hancur dari dalam.

Dalam satu pendedahan yang mengejutkan, Azmin turut mengesahkan bahawa laporan yang membawa kepada tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN sebenarnya difailkan oleh pihak Bersatu sendiri.

Langkah drastik tersebut diambil susulan jalan buntu dan kekecewaan berterusan terhadap sikap PAS. Azmin memberi amaran keras kepada PAS agar berhenti menggunakan retorik ‘propa’ dan menerima hakikat bahawa kegagalan serta kelemahan mereka adalah punca sebenar PN terbatal, bukannya kerana dianiaya oleh pihak luar.

↑
Close