Written by • 8:41 pm• Semasa •

“Zahid ‘Looser’ Sebenar Krisis Negeri Sembilan” – Puad

Puad mempersoalkan peranan Zahid dalam kemelut Negeri Sembilan selepas seorang Ketua UMNO Bahagian memintanya menasihati PMX supaya tidak campur tangan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, secara terbuka mempersoalkan peranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kemelut politik yang sedang melanda Negeri Sembilan.

Reaksi itu susulan tindakan seorang Ketua UMNO Bahagian yang tampil meminta beliau menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), agar tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri berkenaan.

Puad menyifatkan permintaan tersebut sebagai janggal dan tidak kena pada tempatnya, memandangkan Ahmad Zahid yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri mempunyai akses dan hubungan kerja yang jauh lebih dekat dengan Anwar.

“Kenapa saya pula yang diminta menasihati PMX? Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri dan beliau duduk satu meja dalam Kabinet bersama Anwar. Kalau ada perkara yang perlu disampaikan, Zahid orang paling dekat dan layak untuk bercakap terus dengan PMX,” tegasnya.

Dalam pada itu, Puad turut membangkitkan tanda tanya mengenai status sokongan pucuk pimpinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, sama ada langkah-langkah yang diambil Menteri Besar tersebut mendapat restu Ahmad Zahid sendiri atau sebaliknya.

Mengulas lanjut dinamika dalaman yang berlaku, Puad melontarkan sindiran tajam terhadap percaturan politik yang dilihat sedang digerakkan di peringkat tertinggi parti.

“Kalau itu game Zahid, dia sebenarnya the looser,” sindir Puad, merujuk kepada kegagalan membaca sentimen akar umbi serta risiko implikasi politik jangka panjang yang terpaksa ditanggung presiden parti itu sekiranya kemelut berkenaan terus berpanjangan tanpa hala tuju yang jelas.

Surat Pembaca Oleh: Jeffri Saling
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Jeffri Saling. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.

↑
Close