Written by • 10:26 pm• Semasa •

Jangan Sampai Ada Nyawa Melayang Baru Nak Kalut! – PMX

Sampai bila kita nak biar anak-anak dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu, tapi pulang ke rumah dalam keadaan trauma, lebam di badan, atau lebih parah hanya tinggal jasad?

Isu buli di sekolah bukan lagi sekadar kenakalan budak-budak zaman dulu yang boleh diselesaikan dengan sesi bermaafan di bilik guru besar.

Angka hampir 6,000 kes buli dilaporkan dalam tempoh hanya lapan bulan pertama tahun ini membuktikan krisis moral ini sudah berada pada tahap kecemasan nasional.

Kezaliman berskala besar ini tidak bermula dengan pukulan maut, sebaliknya berakar daripada tindakan buli kecil-kecilan yang dipandang sepi pihak pengurusan sekolah.

Hakikat paling pahit yang terpaksa kita telan hari ini: masih ada pentadbir sekolah yang lebih rela ‘menyapu sampah ke bawah karpet’ dan membiarkan mangsa derita demi menjaga nama baik institusi dan laporan KPI.

Sikap hipokrit inilah yang dipatahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau memberi ingatan keras dan amaran terbuka bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak pengurusan yang cuba menyembunyikan kes semata-mata takut dicop sekolah gagal. Di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, naratif lapuk tersebut dihentikan serta-merta.

Pendirian Putrajaya jelas: pendedahan kes secara telus bukan satu aib, tetapi satu-satunya pintu kepada keadilan buat mangsa. Pengetua dan pentadbir yang berani membongkar serta mengambil tindakan pantas wajar dihormati, bukan dipersalahkan.

Ketegasan politik ini disusuli tindakan sistemik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi pengenalan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Policy) secara menyeluruh. Langkah ini bukan sekadar pekeliling atas kertas, tetapi mandat tegas dasar sifar kompromi yang mengikat pihak sekolah, guru dan ibu bapa agar bertanggungjawab ke atas keselamatan setiap murid.

Pemantauan asrama, audit keselamatan fizikal, pengukuhan saringan minda sihat serta ruang aduan yang selamat kini dipaksa bergerak seiring supaya tiada lagi mangsa yang menjerit meminta tolong dalam keheningan asrama.

Persoalannya, di manakah letaknya maruah sistem pendidikan kita sekiranya segulung ijazah dan prestasi gred akademik sanggup dibayar dengan nilai nyawa serta masa depan anak-anak kita? Dasar antibuli paling canggih yang dirangka kerajaan sekalipun tidak akan membawa erti jika dinding institusi masih tebal dengan budaya hipokrasi dan ketakutan menjaga reputasi.

↑
Close