Written by • 5:26 pm• Semasa •

Tuanku Muhriz Kekal YDP Negeri Sembilan

Sampai ke tahap heret istana masuk gelanggang politik kotor – beginilah jadinya bila elit politikus rasa diri mereka lebih besar daripada Perlembagaan dan institusi Raja-Raja Melayu!

Kenyataan tegas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) yang mengesahkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sah sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sewajarnya menjadi tamparan maha pedas buat kepimpinan politik yang ghairah melangkaui batas. DKU secara jelas menegaskan bahawa sebarang naratif atau cubaan mempertikaikan kedudukan baginda termasuk menggunakan sentimen adat demi melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 adalah tindakan tidak berasas dan mencabar kedaulatan undang-undang bertulis. Malah, kenyataan tegas bahawa keputusan dewan tersebut muktamad membuktikan betapa terdesaknya pihak yang cuba mencetuskan polemik perlembagaan demi kepentingan kuasa sempit.

Namun di mana letaknya kewarasan Barisan Nasional dan UMNO tatkala insiden ini meletus di bawah pentadbiran mereka? Parti yang berdekad-dekad menjaja retorik kononnya mereka adalah ‘benteng terakhir’ kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu kini kelihatan canggung, hipokrit dan kelam-kabut mengawal kegelojohan politikus sendiri. Sikap berdiam diri serta kegagalan kepimpinan tertinggi UMNO-BN mengambil tindakan disiplin serta-merta yang tegas terhadap tindakan melangkaui batas ini membuktikan satu perkara: kesetiaan mereka kepada Raja hanyalah modal air liur apabila berkempen, tetapi sedia dipijak-pijak sebaik sahaja nafsu perebutan pengaruh mula menguasai akal.

Rakyat kini dipaksa menonton drama perebutan kuasa yang memalukan di saat ekonomi rakyat dihimpit pelbagai beban sara hidup. Tatkala institusi adat dan Perlembagaan Negeri diperkotak-katikkan demi agenda puak, jentera politik BN tampak lebih berminat menjaga kelangsungan kerusi dan jawatan daripada mempertahankan maruah undang-undang negeri. Budaya politik feudal yang sering menunggang nama institusi beraja ini akhirnya memakan diri sendiri apabila mereka terbukti menjadi punca utama yang mengheret ketidaktentuan dan ketidakharmonian ke tengah-tengah rakyat.

Persoalan yang wajib dijawab oleh kepimpinan BN-UMNO hari ini: Adakah kedaulatan Raja-Raja Melayu hanya bernilai selagi ia menguntungkan periuk nasi politik anda, atau anda sebenarnya sudah bersedia meruntuhkan tiang seri perlembagaan negara semata-mata kerana ketagihan kuasa yang tidak pernah padam?

Berita RTM turut melaporkan berita ringkas mengenai ketetapan rasmi ini merumuskan pengesahan mutlak Dewan Keadilan dan Undang berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

↑
Close