Written by • 9:30 pm• Semasa •

Hidung Tak Mancung Pipi Tersorong: UMNO Masih Mabuk Kuasa Di Melaka, Terdesak Cari Talian Hayat PRN?

Disangka gah menguasai Melaka, rupanya UMNO kini sedang menggelupur mencari talian hayat demi memastikan hayat politik mereka tidak berkubur menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Drama politik Melaka kembali bergolak apabila rundingan Barisan Nasional (BN) bersama rakan strategik terpaksa ditunda ke minggu depan, kononnya mencari ‘tarikh yang sesuai’. Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam kenyataan terbarunya kelihatan cuba berlagak tenang dengan menegaskan rundingan itu ‘bukan ditangguhkan tetapi ditunda’, sambil mengarahkan bahagian-bahagian mengemukakan sekurang-kurangnya tiga nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun di sebalik topeng keyakinan itu, realitinya UMNO sedang bermain politik dua kolam—satu langkah terdesak selepas Pengerusi BN sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan jemputan rundingan berasingan dengan dua blok berbeza.

Sikap flip-flop dan ego UMNO ini akhirnya memakan diri apabila mereka mula menerima tamparan awal. Penolakan terbuka daripada Pakatan Harapan, khususnya kenyataan tegas Parti Amanah Negara menerusi Khalid Samad yang enggan bersekongkol dengan BN di Melaka, jelas memperlihatkan betapa UMNO kini dipandang seperti beban politik yang toksik. Ironinya, Ab Rauf cuba menutup malu dengan berdolak-dalik mengatakan penolakan itu ‘bukan penanda aras’ dan menyerahkan keputusan kepada Majlis Presiden PH, sambil berfalsafah kononnya tidak mahu digelar ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’. Walhal, tindakan Setiausaha Agung UMNO menjemput mana-mana parti untuk datang berunding secara terdesak sudah cukup membuktikan bahawa jenama dacing semakin hari semakin hilang taring dan harga diri.

Corak politik lapuk UMNO yang hanya bersandarkan kepada percaturan kuasa elit dan pembahagian kerusi membuktikan parti ini tidak pernah bermuhasabah pasca PRU15. Tatkala rakyat Melaka dihimpit isu kos sara hidup dan kestabilan ekonomi negeri, pemimpin UMNO masih sibuk berkira-kira sama ada kerjasama politik tertentu ‘membawa lebih mudarat atau manfaat kepada parti’, bukannya kepada rakyat jelata. Taktik meminta tiga nama bagi setiap DUN hanyalah ilusi penyusunan dalaman, sedangkan hakikatnya kerusi yang mahu ditandingi itu sendiri belum tentu ada jaminan kemenangan tanpa ihsan jentera rakan gabungan lain.

Persoalannya, sampai bila UMNO mahu memperbodohkan akar umbi dengan ilusi kononnya mereka masih nakhoda utama politik tanah air? Jika untuk mendepani satu negeri kecil seperti Melaka pun UMNO terpaksa mengemis simpati pakatan luar sambil menagih ihsan rundingan di sana sini, apakah parti ini sebenarnya sedang memperjuangkan masa depan rakyat atau sekadar bersilat demi menyelamatkan tembolok kuasa pemimpin mereka sendiri?

Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.

↑
Close