Written by 7:37 pm Semasa

Istana Murka: Tuanku Muhriz Pancung Seluruh Barisan Exco Negeri Sembilan

Sangka panas hingga ke petang, rupanya ‘gempa bumi’ melanda Negeri Sembilan bila Istana sendiri campur tangan heret keluar parasit politik yang khianat sumpah taat setia!

Tiada lagi istilah diplomasi dan tiada lagi kompromi. Landskap politik Negeri Sembilan hari ini bergegar hebat apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengambil langkah luar biasa dengan membatalkan pelantikan seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.

Berita pemecatan beramai-ramai ini bukan sekadar mengejutkan pentadbiran negeri, malah menjadi tamparan maut buat puak-puak berkepentingan yang selama ini menyangka kedudukan mereka kebal dari tindakan. Mengikut maklumat sahih yang dilaporkan, tindakan drastik baginda berpunca daripada pelanggaran sumpah jawatan serta pengabaian kesetiaan yang termaktub di bawah undang-undang tubuh negeri.

Keputusan tegas ini membuktikan satu perkara: titah dan maruah institusi diraja bukan bahan mainan politik kedai kopi. Di saat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bersama teras kepimpinan Kerajaan Madani siang malam memerah keringat menstabilkan ekonomi, menarik pelaburan berbilion ringgit, serta memelihara tatakelola negara, ada pula ‘warlord’ politik di peringkat negeri yang asyik berdengki, mencatur kuasa, dan mensabotaj kestabilan pentadbiran dari belakang.

Kerajaan sejak awal komited membawa agenda pembaharuan dan integriti tinggi, tetapi ada rakan koalisi yang nampaknya masih belum insaf; masih terbawa-bawa mentaliti zaman feudal lama, seolah-olah kuasa memerintah itu hak milik mutlak bapa mereka sampai sanggup ingkar sumpah keramat di hadapan Tuanku!

Rakyat di peringkat akar umbi sudah lama muak dan jelak menyaksikan perebutan kerusi serta perbalahan dalaman yang langsung tidak membawa faedah kepada periuk nasi rakyat. Adakah mereka sangka mandat pentadbiran ini lesen besar untuk berpuak-puak dan membelakangkan prinsip kestabilan yang sedang dibina oleh PMX?

Tindakan ‘pancung’ serta-merta oleh Tuanku Muhriz ini seharusnya menjadi pengajaran keras buat mana-mana sekutu kerajaan yang berangan mahu bersikap besar kepala atau menjadi gunting dalam lipatan. Kalau asas kesetiaan dan etika sumpah jawatan pun boleh dicabuli demi agenda peribadi, individu-individu sebegini memang selayaknya disapu bersih keluar dari koridor kuasa sebelum membusukkan seluruh bahtera pentadbiran Madani.

Persoalan paling asas sekarang: sampai bila kepimpinan Madani di Putrajaya mahu terus bertolak ansur dengan rakan sekutu yang bermuka dua dan berlagak dominan di negeri, sedangkan mereka sendiri gagal menjaga maruah dan sumpah setia di hadapan payung kedaulatan negeri?

Apabila istana sudah melepaskan pedang pembatalan, adakah ini waktu paling tepat untuk PMX dan PKR ‘cuci mangkuk’ dan membersihkan seluruh pentadbiran tanpa perlu lagi memberi muka kepada anasir khianat?

Close