Kalau kepala parti sendiri dah mula kira giliran kawan-kawan untuk masuk kandang tertuduh, layakkah mereka berlakon jadi penyelamat bangsa di mata rakyat?
Rakyat belum amnesia untuk melupakan ucapan ‘legend’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di hadapan ribuan perwakilan pada Perhimpunan Agung MIC Ke-76 di MITEC, Oktober 2022. Sambil menuding jari satu per satu ke arah saf pimpinan BN, kata Zahid tanpa segan-silu:
“Bukan saya sahaja kena charge. Tok Mat, you are in the waiting list. Tan Sri Vicky, don’t laugh. You are also included! What more Datuk Seri Saravanan? … They won’t forget you. You’ll be charged as well. Hisham, you don’t smile. Bagi mengelakkan ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini, saudara-saudari!”
Alasan mendesak jentera menang dominan cuma satu—bukan demi nasib rakyat marhaen, tapi semata-mata nak elak kroni sendiri kena heret ke muka pengadilan.
Ini bukan fitnah musuh politik; ini pengakuan terbuka tanpa tapisan bahawa budaya sakau dan kotor sudah mendarah daging dalam DNA koalisi mereka. Zahid sendiri tahu tembelang masing-masing, tahu fail siapa yang tebal, dan tahu siapa yang sedang menghitung hari menunggu giliran. Ironinya, bila ada pimpinan mereka yang satu per satu tersungkur dan dipanggil pihak berkuasa hari ini, tiba-tiba keluar naratif kononnya mereka mangsa kezaliman dan dianiaya – padahal senarai nama itu keluar dari mulut presiden mereka sendiri.
Usah berlagak suci menjadi ‘Hero Malaya’ kononnya memperjuangkan maruah bangsa dan agama, sedangkan rekod lampau membuktikan kuasa politik hanya dijadikan perisai kebal untuk melindungi tembolok sendiri. Mentaliti jijik yang meletakkan kemenangan pilihan raya sebagai ‘tiket cuci dosa’ penyamun inilah racun sebenar yang merosakkan negara selama berdekad-dekad lamanya.
Persoalannya cukup mudah: adakah undi rakyat selama ini hanya dianggap sebagai pasport keselamatan untuk menyelamatkan tengkuk pemimpin korup daripada tirai besi, atau mereka fikir rakyat cukup bodoh untuk terus menyembah sindiket yang terang-terangan mengaku bersalah di atas pentas sendiri?
Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan DeKapital.