Written by 7:42 pm Semasa

Gaji Buta RM690,000 & BMW 7 Series: Duit Tabung Haji Kena Rompak Terang-Terangan!

Rakyat marhaen kumpul seringgit dua demi nak jejak tanah suci, tapi si warlord politik seronok pulun gaji mewah ratusan ribu dan kereta mewah hasil seleweng dana Tabung Haji (TH)!

Semalam, terbongkar lagi satu pengkhianatan paling jijik di Mahkamah Sesyen bila bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan poket sendiri. Mengikut pertuduhan rasmi, Azeez mengarahkan bekas CEO TH mencadangkan namanya sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad (PPB) semata-mata untuk merebat pakej ganjaran tahunan sebanyak RM690,000 berserta sebuah kereta BMW 7 Series. Beliau guna kedudukan rasmi dalam institusi amanah umat Islam semata-mata untuk ‘paw’ syarikat luar bagi hidup bergaya.

Bukan setakat melahap gaji dan kereta mewah untuk diri sendiri, tangan rakus ini turut campur tangan mempengaruhi Lembaga Pengarah TH supaya meluluskan pelaburan besar ke atas PPB. Akibat keputusan berkepentingan peribadi tersebut, wang amanah umat Islam berjumlah RM193.5 juta akhirnya ‘hangus’ dan terpaksa dihapuskira sebagai kerugian total. Bayangkan, jutaan ringgit duit titik peluh jemaah haji lebur begitu sahaja atas nama pelaburan, sedangkan tekak pemimpin politik ini kenyang menelan habuan tanpa rasa bersalah.

Politikus macam ini tidak pernah kisah tentang amanah ummah mahupun air mata pendeposit; bagi mereka, institusi suci hanyalah lubuk emas untuk dipunggah demi kuasa, status, dan kekayaan peribadi. Tabung Haji diwujudkan sebagai wadah ibadah, bukan ‘mesin ATM’ peribadi untuk membiayai gaya hidup mewah elit politik yang langsung tiada integriti.

Berapa lama lagi pendeposit kerdil kena tanggung kerugian ratusan juta akibat kerakusan pemimpin bertopengkan agama, dan bila agaknya wang yang dirompak ini akan dipulangkan kembali kepada hak asasi jemaah haji?

Close