Di pentas Muktamar, Tan Sri Abdul Hadi Awang buat hal lagi apabila mendakwa kononnya Amerika Syarikat pernah datang melobi PAS pada zaman pentadbiran Barack Obama untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO. Beliau cuba tayang lagak hero dengan naratif acah-acah berani menolak campur tangan kuasa besar dunia. Tetapi hakikat yang cuba ditutup rapat ialah: kenapa pihak luar berani dekati PAS dari awal kalau bukan kerana mereka nampak PAS parti yang paling mudah digula-gulakan demi kerusi empuk Putrajaya?
Lebih melucukan, naratif jago kampung ini dijaja ketika lawan mereka, UMNO – yang dulu hampir tersungkur akibat ketirisan skandal 1MDB – kini masih teraba-raba mencari taring dan seolah-olah hilang arah mempertahankan integriti mereka sendiri. UMNO yang hari ini berada dalam saf kerajaan sepatutnya malu bila kepimpinan lama mereka dijadikan bahan ketawa dan modal politik murah oleh PAS. Namun apa yang PAS lupa, rakyat hari ini bukan lagi kelompok yang mudah disuap drama konspirasi lapuk era 2014.
Di kala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR memacu Kerajaan Madani dengan diplomasi antarabangsa yang bermaruah; berani bersuara lantang menentang hegemoni Barat secara telus di pentas dunia tanpa menggadaikan kedaulatan ekonomi negara, PAS sebaliknya masih terperangkap dalam fantasi ‘dongeng kedutaan’ untuk menutup ketandusan idea membela nasib rakyat terbanyak.
Persoalannya, jika benar tawaran campur tangan asing itu wujud, mengapa baru hari ini dibongkar semata-mata untuk memancing sorakan perwakilan, dan bukannya dilaporkan secara rasmi demi keselamatan negara sejak sedekad lalu?
Naratif politik murahan ini bukan lagi soal mempertahankan kedaulatan, tetapi bukti kegagalan PAS menawarkan solusi tadbir urus yang realistik buat rakyat Malaysia.