Written by 3:05 pm Semasa • One Comment

Rakyat Bukan Makan KDNK –  Mengapa Naratif Angka Gagal Menutup Realiti Kesusahan Hidup

Ekonomi Malaysia berkembang 6.0% suku kedua 2026.

Pengangguran 3.0%.
Inflasi 1.9%.
Gaji nominal sektor swasta berkembang 4.2%.
Eksport barangan dan perkhidmatan melonjak 17%.
Defisit fiskal pula turun daripada 5.5% pada 2022 kepada 3.7% pada 2025.

Hampir semua angka utama ekonomi nampak sangat baik.

Tapi rakyat bukan makan KDNK.

Rakyat makan nasi.

Bayar rumah.
Bayar kereta.
Bayar bil.
Besarkan anak.

Jadi kalau ekonomi bagus, kenapa masih ramai rasa susah?

Sebab angka ekonomi dan apa yang kita rasa sebenarnya mengukur benda yang berbeza.

Contoh paling mudah, inflasi.

Inflasi 1.9% bukan bermaksud harga barang kembali murah.

Kalau nasi yang dulu RM7 sudah jadi RM10, inflasi turun pun nasi itu masih RM10.

Kerajaan kata inflasi semakin baik kerana kadar kenaikan harga semakin perlahan.

Rakyat pula kata barang masih mahal kerana paras harga sudah tinggi.

Dua-dua betul.

Itulah jurangnya.

Begitu juga gaji.

Data menunjukkan gaji sektor swasta berkembang 4.2%.

Tetapi rakyat tidak hidup dengan purata gaji seluruh negara.

Kita hidup dengan gaji kita sendiri.

Pengangguran pun sama.

Kadar 3% bermaksud hampir keseluruhan tenaga kerja yang mahu bekerja mempunyai pekerjaan.

Itu angka yang sangat baik.

Tetapi seorang ayah tidak bertanya berapa kadar pengangguran Malaysia.

Dia tanya:

Anak aku dapat kerja tak?

KDNK pun sama.

KDNK naik 6% bukan bermaksud duit dalam akaun kita naik 6%.

Ia bermaksud keseluruhan aktiviti ekonomi negara berkembang.

Lebih banyak perniagaan.
Lebih banyak pengeluaran.
Lebih banyak transaksi.
Lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan tercipta.

Kesan itu mengambil masa untuk bergerak sampai kepada setiap individu.

Pelaburan berbilion pula bukan duit yang kerajaan boleh bahagi esok pagi.

Pelaburan hari ini mungkin jadi kilang tahun depan.

Kemudian pekerja diambil.

Vendor dapat kontrak.

Gaji dibayar.

Cukai dikutip.

Barulah kesannya merebak dalam ekonomi.

Ekonomi bergerak melalui rantaian, bukan tekan suis.

Sebab itu kadang-kadang ada jurang antara ekonomi negara sedang bertambah baik dengan rakyat sudah rasa hidup bertambah baik.

Dan kita tak perlu tipu.

Adakah semua rakyat sudah senang?

Belum.

Adakah semua orang sudah merasai pertumbuhan ekonomi 6%?

Belum.

Tetapi persoalan yang lebih adil ialah:

Negara ini sedang bergerak ke arah mana?

Ekonomi berkembang atau mengecut?

Pekerjaan bertambah atau berkurang?

Gaji berkembang atau menguncup?

Inflasi semakin tinggi atau terkawal?

Eksport berkembang atau merosot?

Kewangan kerajaan semakin sihat atau semakin tenat?

Itulah kegunaan angka.

Bukan untuk menafikan kesusahan rakyat.

Tetapi untuk mengetahui arah perjalanan negara.

Doktor tidak menilai pesakit hanya dengan bertanya, “rasa sihat tak?”

Dia tengok tekanan darah. Gula. Kolesterol. Degupan jantung.

Pesakit mungkin belum rasa sihat sepenuhnya.

Tetapi bacaan memberitahu sama ada rawatan sedang berkesan atau penyakit semakin parah.

Ekonomi pun begitu.

Sebab itu bagi aku, Pakatan Harapan layak bercakap tentang Politik Prestasi.

Politik Prestasi bukan kata semua masalah sudah selesai.

Bukan juga minta rakyat percaya propaganda kerajaan.

Sebaliknya:

Tengok angka.
Bandingkan prestasi.
Nilai hasil.

Kalau ekonomi rosak, hukum kita.

Kalau negara bergerak ke depan, berlaku adillah dalam menilai.

Itulah Politik Prestasi.

Surat Pembaca: Ahmad Firdaus Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Ahmad Firdaus Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.

Close