Pengakuan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi PRN Negeri Sembilan “hampir sama” adalah satu pendedahan jujur yang memalukan kedua-dua blok politik tersebut.
Apabila dua musuh tradisi yang beria-ia mendakwa diri mereka ejen perubahan terbaik untuk rakyat berakhir dengan janji manis yang seiras, ia menyerlahkan satu hakikat pahit: kedua-duanya sebenarnya ketandusan idea segar dan sekadar menjual retorik dikitar semula.
Bagaimana dua ikatan politik yang kononnya membawa falsafah serta ideologi berbeza boleh menghasilkan penawaran yang hampir serupa? Jawabnya mudah, penyediaan manifesto bukan lagi dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi, sebaliknya sekadar tugasan “copy-paste” saat akhir demi memenuhi syarat kempen pilihan raya.
BN yang Hilang Arah: Selepas berdekad mentadbir dan kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, BN sepatutnya menampilkan tawaran yang jauh lebih realistik dan teruji. Apabila manifesto mereka dengan mudah boleh disamakan dengan pembangkang, ia membuktikan kepimpinan BN Negeri Sembilan makin hilang punca dan hilang identiti.
Manakala, PAS dan sekutunya dalam PN sering melaungkan kononnya mereka mempunyai “formula terbaik” dan kepimpinan berintegriti. Namun, apabila tawaran mereka tidak ada beza dengan BN yang sering mereka kritik, di mana terletaknya keistimewaan yang dilaung-laungkan itu?
Rakyat Negeri Sembilan Bukan Bahan Eksperimen. Pengundi di Negeri Sembilan bukannya budak sekolah yang boleh dihidangkan dengan dokumen salin dan tampal tanpa pengisian yang konkrit. Rakyat mahukan pelan tindakan yang jelas berkenaan isu teras:
Peluang Pekerjaan & Ekonomi: Langkah konkrit memajukan wilayah seperti Malaysia Vision Valley (MVV 2.0) tanpa menggadaikan tanah dan kepentingan tempatan.
Kos Sara Hidup: Penyelesaian praktikal untuk menekan harga barang, bukan sekadar janji subsidi bersasar yang kabur.
Infrastruktur Luar Bandar: Naik naik taraf fasiliti di kawasan Felda dan kampung-kampung yang sekian lama terabai.
Menjual manifesto yang serupa sambil bertelingkah di pentas ceramah mengenai siapa yang “mencuri idea siapa” adalah satu penghinaan kepada intelek pengundi. Politik tanah air tidak akan maju jika kepimpinan parti – sama ada BN mahupun PAS – terus bersikap sambil lewa dan menyangka rakyat boleh ditipu dengan retorik luar yang nampak gah tetapi kosong di dalam.
Jika benar kedua-dua pihak peduli akan nasib Negeri Sembilan, buktikan dengan kejelasan pelan pelaksanaan (execution plan), bukannya berlumba-lumba menayang kertas kerja yang ditiru antara satu sama lain.