Ahli-ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan (PH) Johor mendesak Kerajaan Negeri memberikan penjelasan terbuka berhubung keputusan melantik 10 orang Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Negeri (Timbalan EXCO).
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, lapan ADUN PH menegaskan bahawa setiap keputusan pentadbiran perlu dinilai mengikut prinsip tadbir urus yang baik iaitu keperluan, keberkesanan, dan kebertanggungjawaban, bukannya pertimbangan politik semata-mata.
“Rakyat Johor berhak memperoleh penjelasan yang jelas terhadap rasional pelantikan ini. Johor memerlukan pentadbiran yang semakin cekap, bukan semestinya semakin besar,” menurut kenyataan tersebut.
4 Tuntutan Utama Pakatan Harapan
Sehubungan itu, PH Johor menggesa pentadbiran negeri untuk membentangkan empat perkara utama secara telus kepada umum:
- Rasional dasar di sebalik pewujudan jawatan baharu berkenaan.
- Skop tugas dan bidang kuasa bagi mengelakkan pertindihan fungsi atau kerenah birokrasi.
- Implikasi kewangan keseluruhan, termasuk elaun, kemudahan, kakitangan sokongan, dan perbelanjaan operasi.
- Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bagi mengukur keberkesanan pelantikan tersebut.
PH Johor turut membangkitkan persoalan mengenai keperluan jawatan berkenaan memandangkan struktur pentadbiran sedia ada telah pun dibantu oleh perkhidmatan awam profesional serta agensi pelaksana. Mereka juga menekankan bahawa isu implikasi kewangan tidak boleh dipandang ringan ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Isu pelantikan 10 Timbalan EXCO ini terus menjadi tumpuan politik di Johor selepas beberapa pihak pembangkang dan parti politik lain turut mempertanyakan implikasi kewangan serta keperluan jawatan tersebut.