Written by 11:52 pm Semasa

Barisan Nasional Bazirkan Duit Rakyat – Presiden MUDA

JOHOR BAHRU, 22 Julai – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengecam tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berhubung pengumuman pelantikan 10 orang Timbalan EXCO Kerajaan Negeri Johor yang didakwa sebagai satu bentuk pembaziran dana awam.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, menegaskan bahawa pelantikan tersebut bukanlah satu langkah untuk memperkukuhkan pentadbiran negeri, sebaliknya hanyalah pembahagian “ghanimah politik” demi mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN).

“Duit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan Bangsa Johor, sebaliknya digunakan untuk membayar gaji dan pencen barisan EXCO serta Timbalan EXCO,” kata Amira Aisya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mengkritik langkah berkenaan yang ditambah pula dengan cadangan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, yang disifatkannya hanya bertujuan memberi sokongan membuta tuli kepada kerajaan negeri pimpinan BN.

Amira Aisya menegaskan bahawa kewangan negeri sepatutnya diprioritaskan untuk keperluan rakyat dan bukannya dibazirkan bagi menampung perbelanjaan pentadbiran politik yang tidak mendesak.

Sehingga kini, pihak Pejabat Menteri Besar Johor mahupun kepimpinan Barisan Nasional negeri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung dakwaan tersebut.

Close