Written by 11:08 pm Semasa

Kahwin Lari BN-PAS: Belum Sempat ‘Bersanding’, MCA Dah Mengamuk!

Wah, hebat sungguh drama politik tanah air kita sekarang. Belum pun reda isu-isu rakyat di bawah, elit politik di atas dah mula main ‘mata’ dan bercium mulut. Perhubungan persefahaman baharu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS memang bunyi macam gah, macam nak selamatkan ummah. Tapi realitinya? Lebih kepada drama berebut harta pusaka!

Pertama sekali, kelakar sungguh bila tengok wayang yang sedang dimainkan ni. Belum ada apa-apa hitam putih yang rasmi, baru acah-acah nak test market, tapi rakan komponen BN iaitu MCA dah mula melenting sakan. Dakwat ‘surat cinta’ BN-PAS belum pun kering, MCA dah secara terbuka mempersoalkan dan menolak bulat-bulat persefahaman ini. Nampak sangat ‘ketua keluarga’ buat keputusan syok sendiri sampai komponen bawah bumbung sendiri pun tak diendahkan. Belum kahwin dah gaduh besar, macam mana nak urus negara?

Kemudian, kita beralih pula kepada ‘pengantin’ di sebelah sana, iaitu PAS. Umum tahu PAS memegang watak utama sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Persoalannya, kenapa langkah gajah nak berpakat dengan BN ini langsung tak dibincangkan dengan rakan-rakan sekutu PN yang lain? Adakah rakan komponen PN sekadar melukut di tepi gantang, atau PAS sudah pandai main taktik tikam belakang? Kalau rakan sekutu yang sama-sama berhujan panas dulu pun sanggup diketepikan, apa sangatlah janji-janji manis yang ditabur kepada pengundi?

Timbul satu persoalan besar yang rakyat berhak tahu: Apa niat sebenar di sebalik kemesraan mengejut BN-PAS ini? Adakah ini strategi terancang untuk ‘tendang’ keluar parti-parti komponen yang dianggap sebagai “beban” daripada koalisi masing-masing? Atau mungkinkah ada percaturan gelap di belakang tabir, pembahagian kerusi dan jawatan lumayan yang sudah pun di-cop awal-awal tanpa menghiraukan suara akar umbi? Nampak gayanya kelangsungan kuasa lebih diutamakan daripada maruah perjuangan.

Di atas kertas, kita tak boleh nafikan, the bigger picture menunjukkan gabungan mega BN dan PAS ini memang ada potensi besar untuk sapu bersih undi majoriti dan membawa kemenangan mutlak. Tapi tepuk dada, tanya selera. Sebuah kerajaan atau empayar politik yang bermula dengan titik hitam pengkhianatan, adakah ia akan bertahan lama? Kemenangan yang dibina di atas air mata, penipuan, dan bangkai politik rakan sekutu sendiri lambat-laun akan hancur lebur juga dek kerana perebutan kuasa sesama sendiri.

Adakah pengundi Negeri Sembilan sudi nak undi gabungan yang belum memerintah pun dah tunjuk belang membelakangkan kawan sendiri?

Close