Tahniah, Dr. Maszlee Malik.
Sejak awal lagi saya bersetuju dan menyokong keputusan Keadilan mencalonkan Dr. Maszlee Malik di Puteri Wangsa.
Dengan kiraan matematik yang mudah, calon yang kuat harus diletakkan di kerusi yang kuat supaya Keadilan mempunyai suara yang lebih kuat di blok pembangkang DUN Johor.
Tetapi tulisan ini bukan tentang Dr. Maszlee.
Dalam ‘worst case scenario’ kita tidak membentuk kerajaan negeri, kualiti pembangkang menjadi aset paling penting untuk membina semula keyakinan rakyat.
Keputusan PRN Johor bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ramai telah menjangkakannya. Cuma, kita masih menyimpan harapan tinggi apabila melihat peratusan keluar mengundi.
Pilihan raya sudah selesai. Tanggungjawab kita sekarang ialah bermuhasabah dengan jujur.
Onn Hafiz bukan baru dua minggu menjadi Menteri Besar. Beliau sudah memimpin Johor selama lebih empat tahun.
Jadi apakah yang dilakukan oleh Pakatan Harapan sepanjang tempoh menjadi pembangkang di DUN Johor?
Adakah kita benar-benar berjaya menjadi alternatif yang diyakini rakyat?
Sepanjang tempoh itu, tidak banyak suara pembangkang yang benar-benar kedengaran. Kita juga tidak berjaya menjelaskan kepada rakyat mengapa kita lebih layak memerintah Johor.
Banyak perbahasan di Dewan Undangan Negeri tidak sampai kepada pengetahuan sebahagian besar rakyat kerana kita gagal menterjemahkannya dalam bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan kehidupan mereka.
Ada wakil rakyat yang mungkin telah berbahas dengan baik di dalam Dewan. Namun, jika rakyat tidak pernah mendengar hujah itu, dari sudut politik kerja tersebut hampir tidak wujud.
Kita tidak boleh menunggu pilihan raya untuk tiba, kemudian baru mahu meyakinkan rakyat bahawa kita lebih bersedia untuk memerintah.
Itu menjadi tugas yang sangat sukar jika sepanjang tempoh menjadi pembangkang kita tidak cukup keras mencabar dasar kerajaan negeri dan tidak menawarkan cadangan alternatif.
Hakikatnya, PH Johor bukan kalah ketika kempen bermula. PH Johor kalah lebih awal apabila kita gagal menggunakan tempoh sebagai pembangkang untuk membina keyakinan rakyat.
Mungkin tulisan ini sedikit bernuansa marah kerana saya pernah melihat seorang Menteri Besar di sebuah negeri mentertawakan kerajaan Persekutuan dengan menggunakan istilah “Madanon”. Lebih mengecewakan, Ketua Pembangkang yang mewakili Pakatan Harapan turut sama ketawa tanpa menunjukkan ketegasan untuk menjawab atau mempertahankan kerajaan.
Masalahnya bukan kerana kerajaan perlu dipertahankan secara membuta tuli.
Namun, apabila sesuatu sindiran jelas bertujuan memperlekeh institusi kerajaan yang kita sendiri dukung di peringkat Persekutuan, sekurang-kurangnya perlu ada suara yang mampu menjawab dengan fakta dan keberanian.
Insiden itu mungkin kelihatan kecil tetapi ia menunjukkan masalah yang lebih besar.
Kita gagal untuk membina naratif dan mencabar kelemahan kerajaan negeri secara berkesan.
Keadilan suatu ketika dahulu dikenali sebagai pembangkang yang berkualiti.
Bukan kerana kita tidak layak memerintah tetapi kerana kita memainkan peranan semak dan imbang dengan sangat baik.
Kita menguasai media sosial lebih awal berbanding parti lain. Kita banyak bercakap tentang dasar dan idea. Kita mengangkat isu yang rapat dengan rakyat dan membina naratif yang mendidik masyarakat. Bukan sekadar mengejar sensasi atau memainkan sentimen perkauman.
Itulah identiti yang perlu dihidupkan semula.
Ini soal keupayaan kita menjadi sebuah parti yang mempunyai kekuatan idea dan wakil rakyat yang benar-benar berfungsi.
Saya percaya parti ini memerlukan peningkatan kualiti wakil rakyat di DUN, khususnya di negeri-negeri tempat kita menjadi pembangkang. Setiap wakil rakyat perlu diperkasakan dengan latihan dasar awam, pengurusan media, strategi politik dan keupayaan berhujah.
Mereka juga perlu disokong oleh pasukan penyelidikan, pegawai komunikasi dan pembahagian portfolio yang jelas.
Setiap isu utama negeri perlu mempunyai jurucakap. Setiap dasar kerajaan negeri perlu dinilai. Setiap kegagalan perlu dijelaskan kepada rakyat. Setiap kritikan pula perlu disertakan dengan cadangan alternatif.
Parti juga perlu mempunyai ukuran prestasi yang jelas terhadap wakil rakyat.
Berapa banyak isu yang dibangkitkan?
Berapa banyak cadangan dasar yang dikemukakan?
Berapa banyak perbahasan DUN berjaya diterjemahkan kepada kandungan yang difahami rakyat?
Berapa kerap wakil rakyat hadir dan bekerja di kawasan?
Tanpa ukuran seperti ini, kita hanya bergantung kepada persepsi dan populariti.
Ada baiknya lebih banyak pelaburan parti diberikan kepada pembangunan kapasiti wakil rakyat dan pembinaan sistem sokongan yang profesional.
Ini bukan bermaksud latihan anggota tidak penting. Namun, terlalu banyak program parti berakhir sebagai acara yang berjaya memenuhi dewan tetapi tidak mempunyai kesan terhadap kekuatan organisasi.
Parti tidak memerlukan lebih banyak program untuk bergambar.
Peranan sebagai kerajaan mungkin topik yang berbeza untuk dibincangkan.
Namun, lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada negeri-negeri tempat kita menjadi pembangkang.
Di situlah parti perlu membuktikan bahawa kita masih mampu menjadi alternatif. Di situlah wakil rakyat perlu menunjukkan perbezaan antara pembangkang yang hanya menunggu pilihan raya dengan pembangkang yang benar-benar bersedia mengambil alih pentadbiran.
Biar rakyat melihat kehadiran kita walaupun kita bukan kerajaan negeri.
Biar rakyat merasakan bahawa ada pihak yang sentiasa mencabar dan menawarkan jalan yang lebih baik.
Keadilan ialah sebuah parti yang selama ini memberi harapan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Tanpa mengira bangsa, ramai rakyat menjadi akar sokongan kepada Keadilan dan Pakatan Harapan. Akar yang selama ini menjadi kekuatan kita.
Bukan anggota parti semata-mata tetapi mereka yang meletakkan harapan besar kepada kita. Badan bukan kerajaan, pengundi progresif, anak muda yang mahukan masa depan yang lebih baik, golongan profesional serta masyarakat yang bekerja keras dan mengimpikan Malaysia yang lebih baik. Mereka inilah kelompok yang dahulu melihat Keadilan sebagai wadah harapan.
Proses reformasi sememangnya tidak mudah. Kerajaan perpaduan mempunyai kekangan tersendiri dan perubahan institusi memerlukan masa.
Namun, realiti pentadbiran tidak boleh dijadikan alasan untuk menurunkan standard parti atau menutup kelemahan sendiri.
Keadilan mempunyai masa depan yang cerah.
Tetapi masa depan itu tidak akan dibina hanya dengan bergantung kepada nostalgia perjuangan.
Ia perlu dibina semula melalui kualiti kepimpinan dan kekuatan idea.
Kepercayaan tidak dibina ketika musim pilihan raya. Ia dibina setiap hari sepanjang lima tahun.
Surat Pembaca Oleh: Yugins Muthusamy
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Yugins Muthusamy, Ketua Cabang KEADILAN Merbok. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.