Written by 3:27 pm Semasa

Puad Zarkashi Kantoi Busuk; Anak Tak Dapat Jadi Calon, Istana Pula Difitnah!

Jangan hanya dengar guntur di langit, rupa-rupanya ada udang gergasi di sebalik batu! Hari ini pentas politik negara digegarkan dengan drama penarikan diri Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada UMNO. Kononnya atas dasar keberanian politik dan menentang kemungkaran. Namun, tunggu dulu! Mari kita renyuk naratif suci ini dan lihat bangkai sebenar yang cuba disembunyikan oleh sang politikus kecewa ini.

Membaca kenyataan keluar parti Puad Zarkashi, sesiapa pun akan terbuai dengan bahasa retorik kononnya beliau adalah wira suci yang teraniaya. Beliau menuduh UMNO Johor hilang kebebasan, mendakwa Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz Ghazi sekadar pak turut, malah tanpa segan silu menyeret institusi Istana Johor ke kancah fitnahnya dengan mendakwa kononnya pembubaran DUN pada 1 Jun lalu adalah atas titah mutlak tanpa konsensus parti.

Tetapi sebagai rakyat dan netizen yang matang, kita wajib mendengar daripada kedua-dua belah pihak! Jangan sekali-kali terus menelan bulat-bulat zikir air mata seorang ahli politik yang gila kuasa. Sebaik sahaja topeng Puad ditarik, bau busuk kepentingan peribadi mula menusuk hidung.

Hipokrasi Terbongkar: Hakikatnya Anda Kaki Ugut!
Jawapan balas pantas daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah meranapkan terus segala kredibiliti yang cuba dibina oleh Puad. Hakikat sebenar di sebalik kemarahan membara Puad bukanlah soal maruah parti, bukan soal Istana, dan jauh sekali soal masa depan orang Melayu.

Ini adalah kes kronik tamak kuasa dinasti anak-beranak! Pendedahan menunjukkan bahawa Puad Zarkashi sebelum ini telah menghantar mesej ugutan secara hitam putih, seperti mana bukti screenshot mesej yang kini tular. Beliau secara panjang lebar mengugut akan keluar parti dan menghentam kepimpinan tertinggi sekiranya tuntutan nepotismenya ditolak, iaitu meletakkan anak kandungnya sendiri sebagai calon di DUN Rengit bagi menggantikan tempat beliau!

Bila kehendak peribadi tidak dipenuhi, bila anak sendiri tidak dapat tempat, parti pula dituduh boneka dan pengecut. Ini ke yang dinamakan perjuangan? Ini namanya gilakan jawatan!

Laporan Polis Onn Hafiz & Sejarah Hitam Kaki Ugut Tegar
Tindakan biadab Puad menyeret nama pihak Istana bukan sekadar kenyataan politik murahan, ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencipta ketegangan. Atas sebab itu, Dato’ Onn Hafiz Ghazi tidak berdiam diri dan bertindak tegas membuat laporan polis rasmi terhadap dakwaan liar tersebut. Ini bukan lagi soal perbezaan pendapat; ini adalah cubaan jahat memfitnah institusi tertinggi negeri demi menyelamatkan maruah sendiri yang tercalar!

Malah, kalau disingkap sejarah, taktik kotor mengugut parti ini bukanlah benda baharu buat Puad. Beliau adalah kaki ugut tegar dalam UMNO. Sewaktu zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden dahulu, dia pernah menggunakan modus operandi yang sama, mengugut mahu keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula di Parlimen Batu Pahat. Kelakuannya saling tak tumpah seperti budak kecil yang mengamuk menghentak kaki dan mahu merosakkan rumah apabila mainannya dirampas.

Air Susu Dibalas Air Tuba
Sungguh tidak mengenang budi! UMNO telah memberikan segala-galanya kepada Puad Zarkashi; pangkat, kedudukan, nama, dan ruang untuk berkuasa selama berdekad-dekad. Namun, sebaik sahaja tuntutan peribadi untuk mengangkat dinasti anak-beranaknya disekat demi memberi ruang kepada pembaharuan parti, UMNO pula yang ditikam dan dicerca dari belakang.

UMNO adalah sebuah parti perjuangan bangsa, bukannya syarikat enterprise milik keluarga Puad Zarkashi. Langkah Onn Hafiz dan Asyraf Wajdi yang berdiri teguh mempertahankan parti daripada terus tunduk kepada manipulasi pengecut politik sebenar seperti Puad wajar dipuji. Rakyat kini tahu siapa yang benar-benar berjuang, dan siapa yang meluduh ke dalam sumur yang pernah memberi mereka minum!

Close