Written by 4:42 pm Semasa

Drama ‘Penyucian’ PN Bermula; Azmin, Radzi Dan Bersatu Ditendang?

Pentas politik Perikatan Nasional (PN) malam tadi nampaknya bukan sekadar mesyuarat pra-persidangan Parlimen biasa. Kalau ada yang masih bermimpi kononnya PN ini sebuah gabungan yang suci murni tanpa pergolakan, imej malam tadi di Pejabat Agung PAS sudah cukup untuk memecahkan benteng khayalan tersebut.

Satu persatu watak utama mula menunjukkan belang, dan yang paling jelas: Bersatu kini seolah-olah sudah menjadi asing dalam rumah yang mereka bina sendiri.

Dari Pecah Belah ke Pintu Keluar
Bagaimana sebuah parti yang dahulunya gah mendominasi PN kini ditinggalkan di luar pagar? PAS dan sekutunya dalam PN kini secara rasmi berada dalam fasa penyucian total. Gabungan ini nampaknya sudah hilang sabar dengan parasit dan ahli-ahli yang gemar menikam dari belakang demi survival politik peribadi.

Kemuncak kepada drama pembersihan ini menyaksikan Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin dipecat daripada PN serta-merta! Tiada lagi diplomasi, tiada lagi amaran. Mereka yang dianggap beban dan duri dalam daging akhirnya ditendang keluar tanpa belas kasihan. Rentetan daripada retaknya Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menunggu lama untuk menyelamatkan diri dengan mengasaskan Parti Wawasan Negara.

Malam tadi, Pejabat Agung PAS menjadi saksi kehadiran Hamzah bersama ‘kem barunya’ termasuk Khlir Mohd Nor, Datuk Ismail Muttalib, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dan Datuk Muslimin Yahaya. Bersatu? Kelibat mereka langsung tidak kelihatan.

“Nama Baru, Parti Sama” – Siapa Kekal, Siapa Kena Tendang?
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dengan sinis mengesahkan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar itu hanya dihadiri oleh mereka yang menerima jemputan khas.

“(Mesyuarat) ini melibatkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dipilih sahaja,” katanya. Ayat yang cukup makan dalam. Kalau dah namanya dipilih sahaja, maknanya ada pihak yang memang sengaja tidak dipilih dan tidak dialu-alukan lagi.

Hamzah Zainuddin sebelum ini mendakwa bahawa mereka akan bertanding menggunakan nama baharu, tetapi mengekalkan ‘roh’ dan perjuangan parti yang sama di bawah payung PN. Kenyataan ini melahirkan satu persoalan besar: Siapa sebenarnya yang kekal, dan siapa yang melukut di tepi gantang?

Logiknya mudah, PAS sebagai abang besar kekal sebagai pemilik mutlak kuasa veto. Hamzah dan sekutu setianya dalam Parti Wawasan Negara mendapat lampu hijau untuk terus bernyawa. Saki baki Bersatu yang masih setia dengan kepimpinan lama? Sila bersiap sedia untuk mengemas barang.

Cop Mohor Pengerusi: Prosedur atau Isyarat Halau?
Ditanya mengenai penggunaan logo PN dalam pilihan raya akan datang, PAS memberi peringatan tegas bahawa mana-mana pihak wajib mendapatkan kelulusan dan tandatangan Pengerusi PN.

Ini bukan sekadar prosedur biasa, ini adalah isyarat jelas kepada Bersatu. Sesiapa yang tidak sebulu, jangan harap isyarat hijau akan diberikan untuk menggunakan lambang gabungan. Jentera pilihan raya milik PAS tidak akan dikerah untuk memenangkan individu yang hanya tahu menjadi beban.

PN sedang disucikan, dan proses penyingkiran ini nampaknya berjalan dengan begitu lancar sekali. Bak kata Azmin dan kawan-kawan beberapa tempoh lepas, “Bye, Azmin. Bye, Radzi Jidin. Bye, Bersatu.”

Surat Pembaca Oleh: Mirza Mohd
Ini merupakan sebuah nukilan surat pembaca oleh Mirza Mohd. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian DeKapital.

Close