Akhirnya, teka-teki mengenai siapa yang bakal mengemudi saf pembangkang terjawab sudah. Namun, jawapannya bukanlah satu kejutan yang menggentarkan Putrajaya, melainkan sekadar satu lagi episod kitar semula politik yang membosankan daripada Perikatan Nasional (PN).
Dalam Konvensyen Gerakan Reset yang berlangsung di Kota Harmoni Sabtu lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan bangganya mengumumkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.
Sambil tersenyum sinis melabelkan keputusan itu sebagai satu gol, Abdul Hadi seolah-olah mahu meyakinkan rakyat bahawa mengekalkan status quo adalah satu kemenangan besar. Persoalannya, gol ini dijaringkan ke gawang lawan, atau sekadar own goal yang menunjukkan kegagalan PN untuk melahirkan pelapis kepimpinan yang lebih segar dan berwibawa?
Kronologi Restu Dan Permainan SD
Keputusan mengekalkan Hamzah bukanlah dibuat atas dasar merit prestasi yang luar biasa di Parlimen, sebaliknya ia dicapai melalui jalan belakang yang sudah menjadi tanda dagang gabungan ini: Akuan Bersumpah (SD).
Menurut Abdul Hadi, persetujuan ini melibatkan kerjasama antara Pas dan entiti yang dinamakan ‘Gerakan Reset’. Kata sepakat kononnya dicapai setelah mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen. Namun, umum tahu bahawa dalam kamus politik PN, SD adalah senjata utama apabila mereka buntu untuk mencari legitimasi melalui proses demokrasi yang lebih telus.
Mengapa perlu SD jika kepimpinan Hamzah benar-benar dihormati? Adakah terdapat keretakan dalaman yang cuba ditampal dengan helaian kertas bersumpah ini?
Samsuri: Pengerusi Yang Kekal Di Takuk Lama
Bukan sahaja Hamzah yang dikitar semula, malah Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut dikekalkan sebagai Pengerusi PN. Walaupun Samsuri sering dicanang sebagai poster boy teknokrat PAS, pengekalan beliau dalam struktur sedia ada membuktikan bahawa PN lebih selesa berada dalam zon selesa mereka yang statik daripada melakukan rombakan drastik yang benar-benar mampu menggugat kestabilan Kerajaan Madani.
Abdul Hadi pantas menafikan bahawa ini adalah satu jajaran baharu. Katanya, mereka cuma memperkemaskan perkara sedia ada. Bahasa mudahnya: Tiada idea baru, tiada visi baru, hanya wajah lama yang disusun semula kerusinya.
Gimik Tokoh Besar – Borong Ahli Politik Luput Tarik?
Paling menarik perhatian, atau mungkin paling melucukan, adalah dakwaan Abdul Hadi bahawa akan berlaku penghijrahan besar-besaran tokoh politik, bekas menteri, dan bekas exco ke dalam PAS.
“Ini keputusan yang mengejutkan,” dakwa beliau. Namun bagi rakyat yang sudah lali dengan drama politik, pengumuman kemasukan bekas-bekas ini hanyalah taktik lapuk untuk menunjukkan kononnya PAS masih relevan.
Adakah PAS kini menjadi pusat pelupusan bagi pemimpin-pemimpin yang sudah ditolak oleh parti asal mereka? Jika benar mereka ini tokoh besar, mengapa mereka gagal mempertahankan parti lama mereka sebelum ini? Membawa masuk individu yang sudah hilang taring tidak akan menyelamatkan negara, sebaliknya ia hanya memenuhkan dewan dengan ego-ego politik yang sudah luput tarikh.
Reset Atau Rehat?
Menggunakan nama Gerakan Reset tetapi mengekalkan muka-muka lama adalah satu tindakan yang sangat ironi. Reset bermaksud memulakan semula dengan sesuatu yang baru, bukannya membelek semula naskhah lama yang sudah koyak.
Rakyat tidak memerlukan SD untuk melihat prestasi pembangkang. Rakyat memerlukan kualiti perdebatan, alternatif polisi yang bernas, dan bukannya sekadar pengumuman siapa pegang jawatan apa di tapak ekspo.
Jika sekadar mengekalkan Hamzah dan Samsuri dianggap sebagai satu gol, maka PN sebenarnya sedang bermain bola sepak di padang yang salah. Sambil mereka sibuk mengira SD dan mengutip bekas menteri, negara terus bergerak ke hadapan, meninggalkan mereka yang masih terperangkap dalam nostalgia kuasa yang kian pudar.
Selamat datang ke Reset yang tidak merubah apa-apa.