Written by 3:16 pm Semasa

Hannah Yakin Kerjasama Sektor Swasta Penting Dalam Usaha Mengindahkan Ruang Awam Kuala Lumpur

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yakin kerjasama erat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sektor swasta perlu terus diperkukuhkan bagi mempercepatkan usaha memperindah, memperbaharui dan menghidupkan semula ruang awam di ibu negara.

Pendekatan tersebut membolehkan pelbagai projek berimpak tinggi dilaksanakan dengan lebih efisien melalui perkongsian idea, kreativiti dan kepakaran daripada pelbagai pihak, sekali gus memberikan manfaat langsung kepada warga kota.

“Melalui kerjasama DBKL bersama arkitek muda tempatan, kita dapat melihat bagaimana sebuah kemudahan asas boleh ditambah nilai melalui pendekatan reka bentuk yang berkualiti dan lebih mesra pengguna,” katanya.

Terdahulu Hannah mengulas pelaksanaan inisiatif Tandas Kompak Seni Kuala Lumpur atau KL Art Toilets yang diperkenalkan DBKL menerusi program Arts in the City bagi mentransformasikan tandas awam bandar melalui gabungan seni, reka bentuk, fungsi dan elemen kelestarian.

Menurut Hannah, KL Art Toilets bukan sekadar kemudahan awam biasa, sebaliknya merupakan contoh bagaimana reka bentuk yang baik mampu meningkatkan pengalaman pengguna serta memperkukuh identiti visual Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang kreatif, inklusif dan berdaya huni.

Beliau menjelaskan bahawa projek perintis KL Art Toilets di Plaza Batik dibangunkan dalam bentuk kompak bersaiz satu petak parkir, namun tetap menitikberatkan aspek keselesaan, keselamatan dan aksesibiliti termasuk kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Selain itu, katanya, reka bentuk tandas tersebut turut mengintegrasikan pengudaraan semula jadi, pencahayaan optimum dan elemen hijau bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa serta kondusif kepada pengguna.

Hannah berkata, kejayaan projek perintis itu membuka ruang kepada pelaksanaannya di beberapa lokasi tumpuan awam lain termasuk Jalan Masjid India dan kawasan Jalan Saloma, dengan setiap lokasi bakal menampilkan identiti tersendiri menerusi pendekatan reka bentuk yang berbeza.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan penglibatan sektor swasta sebagai petunjuk positif terhadap kesediaan syarikat korporat untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih berkualiti.

“Bagi lokasi kedua di Jalan Saloma, kos pembinaan projek akan ditanggung sepenuhnya oleh Feruni Ceramiche. Ini menunjukkan bagaimana sektor swasta boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu ruang awam dan kemudahan untuk rakyat,” katanya.

Menurut Hannah, kerjasama seperti itu membuktikan transformasi bandar tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan, sebaliknya boleh dipercepatkan melalui model kolaborasi yang menggabungkan sumber, kepakaran dan kreativiti pelbagai pihak.

Beliau turut memaklumkan bahawa DBKL kini sedang meneroka lebih banyak bentuk kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi mempertingkatkan kualiti ruang awam di Kuala Lumpur.

Antara inisiatif yang sedang dikenal pasti termasuk penambahbaikan perabot jalanan (street furniture), pembinaan hentian bas dan e-hailing yang lebih selesa serta penghasilan mural yang mampu memperkukuh identiti dan karakter bandar raya.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bukan sahaja berfungsi dengan baik, tetapi juga mempunyai identiti visual yang menarik, mesra rakyat dan membanggakan,” katanya lagi.

Close