Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggalakkan lebih ramai rakyat khususnya warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai Askar Wataniah sebagai salah satu bentuk khidmat kepada negara dan masyarakat.
Seruan itu disampaikan selepas beiau menerima kunjungan hormat daripada delegasi Markas Tentera Darat yang diketuai oleh Mejar Jeneral Dato’ Mohammad Razeif Che Ahmad di Putrajaya, semalam.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai peranan pasukan simpanan dan sumbangan Askar Wataniah dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara serta meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai ancaman di masa hadapan.
Beliau berkata, penyertaan dalam Askar Wataniah bukan sahaja membantu memperkukuh aspek keselamatan negara malah, mampu memupuk semangat patriotisme, disiplin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat.
“Lebih ramai rakyat, khususnya warga Wilayah Persekutuan wajar mempertimbangkan penyertaan dalam Askar Wataniah sebagai satu bentuk khidmat kepada negara dan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hannah turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan warga kota memerlukan kerjasama erat antara pelbagai agensi kerajaan, termasuk pasukan keselamatan yang sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Terdahulu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Tentera Darat Malaysia atas komitmen, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Kejayaan dalam memastikan keselamatan negara bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, agensi keselamatan dan masyarakat,” katanya lagi.
Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh hubungan strategik dengan pasukan keselamatan negara demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan Wilayah Persekutuan.