Written by 8:22 pm Semasa

Seteru Hadi-Azmin Kian Panas, Wakil PKR Tuntut PAS Selangor Nyata Pendirian

Perang mulut yang bermula apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membidas kekurangan jentera pilihan raya dan akar umbi Bersatu nampaknya semakin memuncak.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali secara menyindir menasihati Hadi mengenai isu tersebut dalam satu ceramah di Melaka.

“Kadang-kadang saya tersinggung dengan orang yang kata kita (Bersatu) tiada jentera (pilihan raya).”

“Buka mata. Buka telinga. Jangan pekak!

“Siapa orang di sini? Ini bukan bunian. Ini jentera. Betul atau tidak?” amuknya.

Minggu lalu, dalam satu sidang media di Rusila, Marang, Abdul Hadi mendakwa Bersatu menuntut jumlah calon yang besar tetapi tidak mempunyai jentera yang mencukupi untuk bekerja.

“Mereka ada calon, tetapi kakitangan terlalu kecil berbanding keahlian yang didakwa mencecah ribuan orang.

“Akhirnya, bila kita turun ke bawah, yang bekerja di lapangan hanyalah ahli-ahli PAS.

“Itulah realiti yang berlaku dan kami mengambil kira semua aspek ini,” kata Hadi.

Kini, PKR turut mencelah dengan Timbalan Ketua Penerangan Selangor meminta rakan sejawatnya daripada PAS untuk menyatakan pendirian mereka.

“PKR Selangor ingin bertanya, apakah pendirian kepimpinan PAS Selangor terhadap kenyataan tersebut?

“Adakah Dato’ Dr. Halim Tamuri dan Dato’ Shafie Ngah bersetuju dengan kenyataan Azmin yang dilihat memperlekehkan presiden parti kesayangan mereka sendiri?”

“Kenapa mereka memilih untuk berdiam diri?” soal Khairil Izzat Nordin dari PKR.

Beliau mempersoalkan mengapa mereka bersikap pasif sedangkan beberapa pemimpin PAS di tempat lain sudah pun mengkritik Azmin.

“Dalam politik, perbezaan pendapat boleh berlaku tetapi soal tidak menghormati pemimpin tertinggi tidak sepatutnya berlaku.

“Jika kepimpinan PAS Selangor tidak bersetuju dengan kenyataan itu maka nyatakan pendirian mereka secara terbuka.

“Sikap berdiam diri hanya akan menimbulkan persepsi bahawa PAS Selangor tunduk kepada Bersatu dalam politik negeri dan gagal mempertahankan maruah kepimpinan parti sendiri,” tambahnya.

Close