Written by 2:20 pm Semasa • One Comment

Korban Itu Ibadah, Bukan Aksi Tembak-Menembak

Ketika umat Islam di seluruh negara menghayati Aidiladha dengan semangat pengorbanan dan ihsan, satu rakaman dari Perlis tiba-tiba mengubah suasana. Bukan kerana lembu korban yang disembelih.

Tetapi kerana yang muncul dalam video itu ialah seorang Menteri Besar memegang senapang sebelum melepaskan tembakan ke arah lembu yang dipercayai terlepas kawalan.

Dalam sekelip mata, video tersebut menjadi tular. Ada yang mempertahankan tindakan itu atas faktor keselamatan. Namun tidak kurang yang bertanya, bagaimana sebuah ibadah yang sarat dengan adab dan kasih ihsan terhadap haiwan boleh berakhir dengan bunyi tembakan?

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menjelaskan tindakan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kepada orang ramai selepas haiwan berkenaan gagal dikawal.

Tetapi bagi ramai pemerhati, persoalan yang timbul jauh lebih besar daripada sekadar seekor lembu yang mengamuk. Mengapa keadaan boleh sampai ke tahap memerlukan senjata api? Di mana pasukan pengendali yang sepatutnya menguruskan haiwan korban? Adakah semua langkah kawalan telah digunakan sebelum picu senapang ditarik?

Lebih penting, apakah imej yang sedang dipaparkan kepada masyarakat dan generasi muda? Korban sepatutnya mengajar erti pengorbanan, kesabaran dan ihsan. Sebaliknya, yang kini berlegar di media sosial ialah rakaman seorang pemimpin negeri bersenjata di tengah-tengah program ibadah.

Akibatnya, tumpuan orang ramai bukan lagi kepada semangat Aidiladha, tetapi kepada kontroversi yang tercetus selepas satu das tembakan. Kini polis dijangka mengambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Namun di luar siasatan polis, satu lagi ‘perbicaraan’ sedang berlangsung; perbicaraan di mahkamah rakyat.

Dan dalam keadaan ini, sudah tentulah kita akan bertanya dimanakah PAS sebagai parti komponen dalam hal ini? Tidak ke PAS menasihati sahabat seperjuangan mereka tentang adab dan tertib melakukan ibadah korban?

Close