MARANG: Presiden Abdul Hadi Awang memberi bayangan hubungan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia semakin retak apabila secara terbuka membidas beberapa tindakan parti itu yang didakwa menjejaskan semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam nada tegas, Abdul Hadi mendakwa BERSATU bukan sahaja menarik balik sokongan dalam isu Negeri Sembilan, malah lebih gemar meminta banyak kerusi pilihan raya walaupun kekuatan jentera di lapangan didakwa lemah.
“Bila turun pilihan raya, tinggal ahli PAS saja yang bekerja,” katanya pada sidang media di Marang, hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan dua ADUN BERSATU menarik semula akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai langkah yang melanggar semangat setia kawan dalam PN.
Menurutnya, PAS sebelum ini masih mampu bersabar demi menjaga perpaduan gabungan itu, namun kesabaran tersebut ada batas.
“Kita sabar, tapi sabar ada batas,” katanya.
Selain isu SD, PAS juga mendakwa BERSATU menyekat kemasukan parti-parti Melayu-Islam ke dalam PN serta melakukan pemecatan beberapa pemimpin sendiri di Kedah dan Kelantan tanpa alasan kukuh.
Abdul Hadi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perubahan besar boleh berlaku menjelang PRU16 sekiranya tindakan BERSATU terus menjejaskan kedudukan PN.
“Politik ini banyak kemungkinan,” katanya.