Written by 4:22 pm Semasa

Ketegangan Global: Seruan Pope Leo XIV Hentikan Konflik Mendapat Sokongan

PETALING JAYA: Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan sokongan terhadap pendirian Pope Leo XIV yang menolak perang serta menggesa keamanan dalam ketegangan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.

Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik berkata, suara Pope yang menyeru kepada rasional, sekatan dan penghormatan terhadap nyawa manusia wajar dipuji dalam situasi global yang semakin meruncing.


Beliau berkata, kenyataan Pope bahawa “Jesus adalah raja keamanan yang menolak peperangan,” mencerminkan pendirian moral yang tegas terhadap sebarang usaha menghalalkan konflik.


“Ini bukan sekadar pandangan seorang pemimpin agama, tetapi satu manifestasi keberanian moral dalam berdepan tekanan geopolitik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, KEADILAN mengkritik reaksi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang disifatkan sebagai tidak wajar susulan kenyataannya terhadap pemimpin tertinggi Gereja Katolik itu.


Menurutnya, kenyataan tersebut dilihat mencabar prinsip kebebasan beragama dan kebebasan bersuara dalam isu antarabangsa.

KEADILAN turut mengulangi pendiriannya menolak sebarang bentuk ketenteraan unilateral yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha de-eskalasi dan kembali kepada pendekatan diplomasi pelbagai hala bagi memastikan keamanan sejagat.

Close