Written by 4:04 pm Semasa

Honda, Toyota Dan Nissan Di Ambang Kejatuhan

KUALA LUMPUR : Industri automotif Jepun, Honda, Toyota dan Nissan khasnya kini berdepan tekanan besar apabila pemimpin industri memberi amaran mengenai krisis “survival” susulan kelewatan beralih kepada kenderaan elektrik (EV) serta saingan sengit daripada pengeluar China.

Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe, berkata sektor itu kini berada “di ambang survival” selepas syarikat tersebut menjangkakan kerugian bersih pertama sejak 1957.

Beliau turut mengumumkan pemotongan gaji sebanyak 30 peratus sebagai langkah tanggungjawab susulan prestasi kewangan yang merosot.

Statistik industri menunjukkan kedudukan pengeluar Jepun semakin terhakis. Nissan, yang sebelum ini antara pengeluar terbesar dunia, kini melaksanakan penstrukturan semula termasuk cadangan menutup tujuh kilang menjelang 2028.

Penguasaan pasaran global jenama Jepun turut menyusut daripada 31 peratus pada 2019 kepada 26 peratus tahun lalu.

Menurut penganalisis, tekanan utama datang daripada kebangkitan pesat pengeluar EV China, di samping kesan tarif import Amerika Syarikat sebanyak 25 peratus yang menjejaskan margin keuntungan.

Hakisan pasaran paling ketara dilihat di Asia Tenggara, khususnya Thailand, apabila jualan EV meningkat kepada sekitar 20 peratus.

Pemerhati industri berpendapat kelewatan dalam peralihan kepada teknologi elektrik menjadi faktor utama, dengan pengeluar Jepun masih bergantung kepada enjin pembakaran dalaman (ICE) dan teknologi hibrid.

Bagi Nissan, kenderaan petrol masih menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jualannya. Mibe mengakui EV tidak bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tradisional Jepun dalam kejuruteraan mekanikal, sebaliknya memerlukan keupayaan perisian yang lebih tinggi.

Beliau berkata Honda akan meningkatkan pelaburan dalam pembangunan perisian serta Sistem Bantuan Pemandu Canggih (ADAS).

Dalam perkembangan berkaitan, industri automotif Jepun dilaporkan sedang mempertimbangkan kerjasama strategik termasuk perolehan bersama bagi mengurangkan kos yang meningkat.

Kos tetap seunit, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta susut nilai, dilaporkan meningkat hampir 78 peratus berbanding sedekad lalu.

Toyota kekal sebagai pengecualian dengan pegangan kukuh dalam pasaran hibrid global serta kerjasama dengan firma China, namun pakar industri berpandangan satu syarikat tidak mampu menampung keseluruhan industri.

Penganalisis merumuskan industri automotif Jepun kini memasuki fasa peralihan kritikal, daripada dominasi kejuruteraan mekanikal kepada persaingan berasaskan teknologi digital.

Close