KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada sekatan ke atas penggunaan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.
JPN dalam kenyataan hari ini berkata, penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan berhubung kenyataan Ketua Pengarahnya yang berkait siasatan kes penyalahgunaan MyKad.
Menurutnya, siasatan berkenaan melibatkan dakwaan penggunaan empat MyKad oleh individu selain pemilik sah di Kelantan.
“Tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad bagi tujuan menikmati subsidi BUDI95 selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, JPN menegaskan bahawa penggunaan MyKad oleh pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyerahkan MyKad kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti.
JPN turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan subsidi berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.
Tambahnya, orang ramai disaran merujuk sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sebelum membuat sebarang tafsiran.
“JPN komited memastikan MyKad kekal sebagai dokumen pengenalan diri yang selamat, sah dan diyakini,” katanya.
Good work Madani!