KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan dan menyita aset bernilai ratusan juta ringgit dalam satu operasi besar membanteras sindiket pengubahan wang haram menerusi Op Viking, yang disiasat sejak 2018.
Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman membuka kertas siasatan pada 14 Oktober 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ketua AMLA Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata siasatan mendedahkan sindiket berkenaan terlibat dalam pelbagai kesalahan serius termasuk pinjaman wang haram, manipulasi pasaran saham serta pelanggaran undang-undang syarikat.
“Kesalahan melibatkan perjanjian pinjaman mengelirukan, ugutan terhadap peminjam, manipulasi pasaran saham serta kegagalan pendedahan kepentingan dalam urus niaga korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara 15 Oktober hingga 13 Januari lalu, polis menahan 10 individu yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan sindiket tersebut, terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita.
Selain itu, sebanyak 41 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang masih berjalan.
Menerusi operasi tersebut, pihak berkuasa telah mengambil tindakan pembekuan dan penyitaan aset berskala besar, termasuk:
- 8 hartanah
- 32 kenderaan
- Saham milik dua syarikat
- 2.98 bilion unit saham bernilai RM323.6 juta
- Akaun dagangan bernilai RM64.2 juta
- 404 akaun bank berjumlah RM85.6 juta
- Turut dirampas adalah barangan mewah seperti sembilan kereta, tiga motosikal, jam tangan, barang kemas, beg berjenama serta wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing.
Fazlisyam menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Siasatan dijalankan berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh, selaras dengan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aset atau hasil aktiviti haram supaya tampil membantu siasatan.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang aktiviti kewangan mencurigakan.
Langkah itu penting bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah pengubahan wang haram yang semakin kompleks di negara ini.