Written by 12:00 pm Semasa

Isu Pijak Al-Quran: Apa Yang Sebenarnya Berlaku?

Isu seorang individu yang dirakam memijak Al-Quran telah menimbulkan pelbagai reaksi dan juga kekeliruan di media sosial. Ada yang mendakwa tindakan lambat diambil. Ada yang kata suspek dilayan istimewa. Ada juga yang menuduh kerajaan tidak buat apa-apa.

Hakikatnya, tindakan telah pun diambil dan siasatan sedang berjalan mengikut undang-undang.

Apa yang berlaku setakat ini

Selepas tangkap layar memaparkan individu terbabit memijak Al-Quran tersebar, individu berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan kemudiannya membuat laporan polis.

Namun pada masa yang sama, beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa dan direman untuk membantu siasatan.

Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak, kes ini bukan sekadar siasatan biasa. Individu terbabit disiasat di bawah beberapa undang-undang yang berbeza, menyebabkan proses siasatan menjadi lebih terperinci.

Suspek kini ditahan reman dan masih berada dalam lokap sementara siasatan dilengkapkan.

Kes berkenaan boleh disemak melalui sistem mahkamah menggunakan nombor kes CA-89RE-305-02/2026 di laman:
http://efs.kehakiman.gov.my/efsweb/

Kenapa belum didakwa

Antara persoalan yang timbul ialah kenapa pendakwaan belum dibuat.

Salah satu sebabnya ialah proses siasatan melibatkan beberapa undang-undang berbeza, iaitu:
• Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan penghinaan agama
• Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkaitan penyebaran kandungan dalam talian
• Akta Hasutan 1948

Apabila siasatan melibatkan lebih daripada satu akta, keterangan perlu dikumpul dengan lebih teliti sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Itulah sebabnya majistret melanjutkan tempoh reman.

Ini adalah prosedur biasa dalam kes jenayah yang melibatkan siasatan pelbagai agensi.

Isu kad OKU

Turut tersebar dakwaan bahawa suspek cuba mendapatkan kad OKU semasa dalam tahanan.

Secara praktikalnya, perkara seperti itu hampir mustahil dilakukan dari dalam lokap.

Status kesihatan individu terbabit boleh disahkan melalui rekod terdahulu jika perlu, termasuk melalui institusi pengajian atau rekod perubatan sedia ada.

Hukuman yang boleh dikenakan

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman di bawah beberapa undang-undang:

Seksyen 298 Kanun Keseksaan
Hukuman penjara sehingga 1 tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
Hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Akta Hasutan 1948
Hukuman penjara minimum 3 tahun sehingga maksimum 7 tahun.

Ini menunjukkan kes tersebut bukan kes kecil seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Lokap atau dakwa terus

Ada juga yang mempersoalkan kenapa suspek tidak didakwa terus di mahkamah.

Hakikatnya, suspek yang terus didakwa biasanya berpeluang memohon ikat jamin dan dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Sebaliknya, tempoh reman bermaksud suspek kekal dalam tahanan sementara siasatan disiapkan.

Lokap bukan keadaan yang mudah. Tahanan perlu berkongsi ruang sempit, kemudahan asas yang terhad dan tidur beralaskan lantai.

Dalam banyak keadaan, tempoh lokap dianggap lebih sukar daripada penjara.

Kes ini sedang berjalan mengikut prosedur undang-undang seperti kes jenayah lain.

Dakwaan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan adalah tidak tepat.

Tindakan telah diambil, siasatan sedang berjalan, dan proses pendakwaan akan dibuat selepas siasatan dilengkapkan.

Tidak semua proses siasatan berlaku di depan mata orang ramai. Tetapi itu tidak bermaksud tiada tindakan diambil.

Close