Written by 11:40 pm Semasa • 5 Comments

Kerajaan Tarik Balik RUU PSB, Akan Ditambah Baik, Dibentang Semula

PUTRAJAYA, 23 Jan — Kerajaan Madani hari ini mengumumkan penarikan balik Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 — juga dikenali sebagai Urban Renewal Act — untuk diolah semula dan dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk yang “lebih mantap dan adil”.

Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebagai usaha memastikan undang-undang tersebut benar-benar mampu menangani isu perumahan bandar, terutama yang melibatkan golongan miskin bandar, secara menyeluruh. 

Katanya, meskipun PSB telah melalui bacaan di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu, terdapat banyak kebimbangan dan bantahan dikemukakan oleh ahli Parlimen dari pelbagai blok termasuk Barisan Nasional dan PKR, yang menunjukkan RUU itu memerlukan penyusunan semula sebelum dibentang semula. 

Fahmi turut menjelaskan bahawa kabinet bersetuju mengambil kira cadangan daripada ahli Parlimen termasuk dari UMNO, dan hampir kesemua cadangan itu akan dimasukkan ke dalam draf baru sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri dan kemudian ke Jabatan Peguam Negara untuk penyediaan undang-undang baharu. 

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta PLANMalaysia atas libat urus dan cadangan penambahbaikan terhadap RUU PSB sebelum ini. 

Sebelum ini, kementerian berkaitan telah menyatakan kesediaan untuk membentangkan semula RUU yang dianggap penting bagi menangani bangunan usang, daif dan berbahaya di kawasan bandar, namun bacaan kali kedua RUU tersebut ditangguhkan tanpa dibahas.

Close