Sepanjang tahun ini, MIC berlagak seperti parti yang sedang merancang “lonjakan besar”. Isyaratnya jelas. Ugutan keluar BN. Main api dengan Perikatan Nasional. Hentaman berterusan terhadap kerajaan Madani melalui rangkaian media Tamil yang mereka kuasai. Semuanya dibina atas satu andaian besar: bahawa MIC masih punya nilai tawar dalam politik nasional.
Masalahnya, andaian itu sudah lama mati.
Realiti politik hari ini sangat mudah. Kerajaan Madani terbentuk kerana Umno. Bukan kerana MIC. Bukan kerana MCA. Umno mengawal kerajaan negeri, memegang jawatan timbalan perdana menteri dan barisan menteri kanan. MIC dan MCA pula hanyalah penumpang yang wujud atas ihsan. Mereka tidak membawa nombor. Mereka tidak membawa kawasan. Mereka tidak membawa kestabilan.
Angka tidak menipu. MCA hanya ada dua Ahli Parlimen, dua senator dan beberapa ADUN. MIC lebih teruk. Satu Ahli Parlimen, dua senator dan lima ADUN seluruh negara. Semua ini bukan hasil kekuatan sendiri, tetapi hasil agihan Umno. Tanpa Umno, MIC tidak menang apa-apa. Bahkan untuk bertanding pun mereka bergantung.
Namun MIC memilih untuk berkhayal. Mereka menyangka Perikatan Nasional ialah pintu keluar. Mereka lupa satu hakikat asas: dalam PN, kuasa bukan di tangan Bersatu. Ia di tangan PAS. Dan PAS tidak perlukan MIC.
Lihat apa yang berlaku kepada Bersatu sendiri. Walaupun pernah mengetuai PN, parti itu kini diperlakukan sebagai rakan kecil. Krisis Perlis mendedahkan segalanya. Kudeta dalaman, pengkhianatan sesama sendiri, dan akhirnya Muhyiddin semakin tersisih. Jika Bersatu yang ada puluhan kerusi pun boleh dipermainkan, apa nilai MIC di mata PAS?
Jawapannya mudah. Hampir tiada.
PAS tidak memerlukan MIC untuk menang. Mereka tidak bergantung kepada undi MIC. Mereka tidak memerlukan legitimasi MIC. Dalam struktur PN, MIC hanyalah hiasan etnik, bukan rakan strategik. Sama nasib dengan MCA, MIPP, Urimai, MAP, Berseketu dan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Semua ini parti dan sayap yang wujud di pinggir, berebut serpihan, bukan menentukan arah.
Lebih ironik, tantrum MIC selama ini langsung tidak mengubah imbangan kuasa. Kabinet tidak berganjak. Kerajaan tidak goyah. Yang terdedah hanyalah kedudukan sebenar MIC sebagai parti yang marah kerana tidak lagi relevan.
Politik bukan soal jerit paling kuat. Politik soal siapa diperlukan. Hari ini, MIC tidak diperlukan oleh BN, dan lebih-lebih lagi tidak diperlukan oleh PN. Mereka terperangkap di tengah, tanpa pengaruh, tanpa laluan, tanpa masa depan yang jelas.
Inilah jalan mati yang mereka bina sendiri. Kekal dalam BN sebagai penumpang yang dipandang sepi, atau melompat ke PN untuk menjadi hiasan yang tidak diambil kira. Kedua-duanya bukan strategi. Kedua-duanya pengakhiran.
Dan apabila semua ugutan, jeritan dan drama akhirnya tidak membawa apa-apa hasil, satu kesimpulan menjadi semakin jelas: MIC dan rakan-rakan seangkatan bukan sedang merancang masa depan. Mereka cuma sedang melengah-lengahkan kepupusan.
Oleh: Jeffri Saling
Ini isu MIC. Kenapa awak nak serang Urimai?
Jangan bodoh sangat!
Prof Ramasamy ialah salah seorang pemimpin India terbaik yang pernah ada di negara ini.
Setuju. You are right bro!
Ramasamy bukan keluar DAP sebab prinsip.. 😜😜💀
Urimai wujud sbb terdesak nak stay relevant huhuhu
Parti nyamuk Ramasamy sama je main kaum bro
MIC laughing stock 😂😂😂