Mungkin pandangan ini tidak popular. Tidak ramai yang berani menyebutnya secara terbuka. Tetapi demi berlaku adil, saya rasa ia perlu.
Gosip rombakan kabinet semakin rancak. Antara nama yang paling hangat diperkatakan ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Kritikan tidak datang daripada pembangkang semata-mata kerana itu memang kerja mereka, tetapi turut disertai kumpulan liberal yang ada agenda mereka tersendiri.
Saya ambil ruang ini untuk meluruskan beberapa perkara.
Frasa “jangan ganggu sekolah kami” menjadi slogan apabila Fadhlina bertegas mempertahankan program solidariti Palestin di sekolah yang diserang tanpa belas oleh puak liberal. Ketegasan itu dianggap dosa. Prinsip pula ditafsir sebagai ekstrem.
Kononnya Fadhlina melarang qunut nazilah dibaca di sekolah. Fitnah ini berlarutan sehingga Ahli Parlimen Jasin kini berdepan saman fitnah. Fakta ada tetapi ramai memilih untuk menutup mata. Mereka lebih selesa menelan naratif palsu kerana ia menyokong kebencian yang sedia ada.
Insiden ‘tepuk meja’ pula sering dipetik sebagai bukti kononnya Fadhlina emosional. Hakikatnya, ia berlaku ketika beliau mempertahankan pendirian kerajaan apabila Presiden MCA mendesak penambahan sekolah SJKC.
Apabila seorang menteri wanita Melayu mempertahankan dasar negara dengan tegas dia dilabel emosional. Jika lelaki yang melakukannya dia dipuji berani walaupun penuh kata caci maki.
Lebih panas, Fadhlina ditekan hebat apabila menegaskan bahawa hanya pemimpin Melayu yang bangsat sahaja tidak mempertahankan Islam. Kata-kata itu lahir daripada prinsip dan bukan kebencian. Tetapi bagi kumpulan liberal, mempertahankan Islam itu sendiri sudah dianggap satu kesalahan.
Tiga tahun kerajaan memerintah. Dong Zong yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan senyap sunyi. Hari ini mereka muncul kembali dengan tuntutan pengiktirafan UEC. Mengapa sekarang? Kerana mereka berjaya mencipta persepsi bahawa Fadhlina lemah dan tidak wajar dikekalkan.
Selain isu Palestin, Fadhlina membawa delegasi dari Afghanistan untuk belajar daripada sistem pendidikan kita. Beliau menunjukkan bahawa pelajar perempuan berhak mendapat pendidikan. Namun dalam dunia liberal usaha ini dilabel sebagai menyokong pengganas. Sedangkan mereka yang datang itu adalah saudara seagama yang mencari jalan keluar daripada kezaliman.
Apabila Hadith 40 diperkenalkan di sekolah, tekanan datang dari kiri dan kanan. Tetapi Fadhlina tidak tunduk. Beliau teruskan juga. Prinsip tidak dijual walau dibayar dengan kecaman.
Belum lagi kita bicara soal kontraktor Bumiputera yang setiap tahun mendapat peluang kerja hasil fokus Fadhlina membaik pulih tandas, surau, makmal, dewan makan dan bilik guru. Kerja-kerja asas yang selama ini dipandang remeh, akhirnya diberi perhatian.
Hari ini yang mengaku pejuang Melayu turut menyerang menteri yang sama atas asas keuntungan politik. Tragedi adik Zara pula ditunggang tanpa rasa malu. Selesai sahaja PRU Sabah, semua senyap dan hilang semua pejuang. Setiap insiden di sekolah dituding kepada menteri seolah-olah seorang menteri memiliki kuasa magis mengawal ribuan sekolah dan jutaan murid setiap hari.
Berlakulah adil dalam menilai. Jangan kita tunduk kepada naratif yang dicipta oleh “mereka”. Saya tulis apa yang orang lain mungkin takut untuk tulis.
Mirza Mohd
Tulisan ini merupakan kiriman surat pembaca dan tidak melambangkan pendirian DeKapital.