Written by 12:03 pm Semasa • 2 Comments

Mahathir Bercakap Tentang Kedaulatan? Ironi Paling Besar Tahun 2025

Setiap kali Dr Mahathir muncul dengan amaran tentang negara sedang tergadai, rakyat sudah boleh teka satu perkara. Ada sesuatu yang beliau mahu alihkan. Sejarah politiknya terlalu panjang untuk sesiapa berpura-pura tidak perasan pola ini.

Kali ini sasarannya ialah ART, perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat. Beliau mendakwa ART akan menghapuskan hak Bumiputera dan mencairkan kedaulatan negara. Tuduhan berat biasanya datang bersama bukti. Malangnya, seperti biasa, bukti itu tidak pernah muncul.

Apa yang muncul ialah satu ironi. Mahathir mengangkat dirinya sebagai penjaga kedaulatan, tetapi rekod pentadbirannya selama dua dekad menunjukkan Malaysia beberapa kali membuka pintu sangat luas kepada kuasa luar. Dari dasar penswastaan, kepada perjanjian pelaburan era 90an, kepada projek mega yang penuh pergantungan asing, beliau bukan simbol kedaulatan. Beliau simbol liberalisasi tidak seimbang yang masih menghantui ekonomi kita sampai hari ini.

Hal yang lebih menarik. Ketika dakwaan kekayaan beliau menjadi bualan antarabangsa, tumpuan tiba tiba dialihkan kepada isu Bumiputera. Mahathir tahu apa yang paling mudah membakar emosi rakyat Melayu. Beliau pernah guna taktik sama untuk mengekalkan kuasa. Kini, selepas bersara, beliau guna taktik sama untuk kekal relevan.

Masalahnya, ART bukan gambaran yang beliau jual. MITI telah menjelaskan secara terbuka. ART bukan FTA. Ia bukan perjanjian yang memaksa Malaysia membuka semua sektor. Ia bukan tiket automatik untuk syarikat Amerika menuntut status Bumiputera. Hak Bumiputera diletakkan sebagai garis merah dalam rundingan, dan sehingga kini tiada satu klausa pun dalam ART yang menyentuh kedudukan tersebut.

Jika seseorang benar benar percaya pada kedaulatan, mereka akan membaca dokumen terlebih dahulu. Mahathir memilih untuk tidak membaca. Beliau memilih untuk menakutkan rakyat.

Soalan penting ialah mengapa.

Tidak sukar melihat jawapannya. ART ialah perjanjian tarif yang menguntungkan eksport Malaysia. Ia berpotensi menarik pelaburan baharu dan menyelamatkan rantaian bekalan. Ia ialah dasar ekonomi yang praktikal, bukan simbolik. Dan dasar praktikal yang membawa hasil akan melemahkan naratif politik beliau yang cuba menggambarkan kerajaan hari ini sebagai lemah dan tidak berdaya.

Lebih mudah menuduh orang lain menjual negara daripada mengakui bahawa Malaysia sedang bergerak ke hadapan tanpa beliau. Lebih mudah menjerit tentang kedaulatan daripada menjawab persoalan persoalan yang menghampiri diri sendiri.

Jadi setiap kali Mahathir bercakap tentang negara tergadai, rakyat patut tanya satu soalan. Siapa sebenarnya yang sedang terancam. Negara atau ego beliau sendiri.

Close