Pemuda PAS nampaknya masih belum sedar dari mimpi. Keputusan PRK Ayer Kuning sudah jelas, Barisan Nasional (BN) bukan sekadar mempertahankan kerusi, tetapi menambah majoriti hampir sepuluh kali ganda berbanding PRU15. Tapi di mata PAS, mereka masih mahu berlagak seolah-olah merekalah pemenang moral.
Mari kita turunkan mereka ke bumi realiti.
Dalam PRU15, BN hanya menang dengan 132 undi. Kali ini, BN melonjak kepada 1,266 undi. Majoriti meningkat, bukan mengecil. BN pula menang 19 dari 20 Pusat Daerah Mengundi. Kalau ini bukan pukulan knockout, apa lagi?
Undi PN pula jatuh, bukan sekadar statik. Rakyat sudah mula menghantar isyarat: cukup-cukuplah dengan drama kosong. Apa yang tinggal pada PN hanyalah jeritan retorik yang berulang-ulang, tapi rakyat Ayer Kuning memilih stabiliti, bukan sandiwara jalanan.
Lebih memalukan, di tiga kawasan, undi PSM, sebuah parti kecil tanpa jentera mewah, lebih banyak daripada PN. Parti kerdil pun boleh kalahkan PN di beberapa peti undi. Ini bukannya tamparan, ini satu pukulan cedok ke dagu yang sakitnya bukan kepalang.
Naratif Pemuda PAS kononnya pengundi Cina memboikot dan itu sebab kalah adalah alasan paling basi. Kadar keluar mengundi turun untuk semua kaum. Tapi hakikatnya, BN tetap berjaya tambah undi, sedangkan undi PN susut. Bukankah itu bukti siapa yang benar-benar kehilangan keyakinan rakyat?
Sejarah Ayer Kuning konon ‘kubu BN’ dijadikan alasan. Ironinya, dalam PRU15, PN hampir mencuri kerusi ini, tapi kini jurang makin melebar. Kalau ikut logik Pemuda PAS, kenapa dulu beriya kempen habis-habisan?
PRK Ayer Kuning adalah referendum kecil terhadap politik tipu diri sendiri.
Rakyat tak mahu lagi politik syok sendiri, politik yang menang dalam poster tapi kalah dalam kertas undi. PRK ini membuktikan bahawa rakyat sudah muak dengan mereka yang hanya tahu melaung, memfitnah dan menganggap semua orang bodoh.
Kepada Pemuda PAS: dalam politik, bukan semua kekalahan boleh dibungkus jadi kemenangan. Kadang-kadang, kalah itu memang kalah.
Dan kali ini, Ayer Kuning sudah menghantar mesej keras itu terus ke muka anda.