Written by 9:58 am Semasa

Isu Menara KL: Tiada Kompromi Terhadap Pencerobohan Aset Negara

Kita biasa dengar cerita penyewa rumah, kontrak dah tamat, tuan rumah dah bagi notis, tapi masih liat nak keluar. Tapi jarang kita dengar kes macam ini: syarikat yang kontraknya dengan kerajaan telah tamat, tapi masih berdegil duduk di atas tapak milik kerajaan dan terus berniaga macam biasa. Inilah yang sedang berlaku di Menara Kuala Lumpur.

Mari kita perjelaskan: Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan. Ia bukan milik mana-mana syarikat swasta. Sejak 1 April 2025, kerajaan telah menyerahkan pengurusan menara ini secara rasmi kepada LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), setelah konsesi terdahulu yang dipegang oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) tamat tempoh interim pada 31 Mac 2025.

Namun, realitinya agak pelik, MKLSB masih beroperasi di tapak Menara KL walaupun mereka tiada lagi hak sah di situ. Bukan sahaja tidak sah, tetapi secara teknikal, ia merupakan satu bentuk pencerobohan ke atas aset kerajaan. Dan ini bukan sekadar retorik, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sendiri telah mengeluarkan dua notis pengosongan kepada MKLSB, masing-masing bertarikh 3 April dan 9 April 2025. Jelas, sabar kerajaan pun ada hadnya.

Apa maknanya ini semua? Ia bermaksud, sebarang urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB selepas 31 Mac adalah tanpa kebenaran kerajaan dan dengan itu, tidak sah. Dalam bahasa mudah: buat bisnes atas tanah orang tanpa lesen. Haram.

Isu ini bukan soal siapa pengurus lama, siapa pengurus baru. Isu sebenar di sini ialah kedaulatan undang-undang dan prinsip tadbir urus. Apabila kontrak tamat, maka tamatlah hak dan tanggungjawab. Kalau masih ingin berada di tapak tersebut tanpa kebenaran, ia bukan lagi soal teknikal, ia adalah soal ketelusan, integriti, dan rasa hormat kepada keputusan kerajaan.

Dan bagi kerajaan, keselamatan pengunjung dan keperluan kerja-kerja penyelenggaraan oleh pengurusan baharu menjadi keutamaan. Sebab itu Menara KL kini ditutup sementara, supaya peralihan ini berjalan lancar dan sah dari segi undang-undang, bukan diganggu oleh mereka yang sudah tidak lagi memegang hak operasi.

Jadi, kalau ada yang masih keliru atau sengaja mahu mencipta persepsi kononnya kerajaan rampas Menara KL atau buat kerja semberono, sila semak semula fakta. Yang menara itu, kerajaan punya. Yang lama dah habis lesen. Yang baru ambil alih ikut proses. Yang enggan keluar, itu masalah.

Menegakkan undang-undang bukan tindakan politik. Ia adalah prinsip pentadbiran yang wajib dijunjung oleh semua, sama ada syarikat besar atau penyewa kedai kopi.

Close